MAQIS rampas 30,000 benih ikan kerapu

LANGKAWI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 30,000 benih ikan kerapu tanpa permit import sah yang cuba dibawa masuk melalui Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) di sini, Sabtu lalu.

Ketua Pintu Masuk MAQIS Langkawi, Haslina Md Shariff, berkata benih ikan kerapu bernilai RM25,000 yang dibawa dari Indonesia itu dikesan ketika pemeriksaan pada jam 7.20 malam.

“Pemeriksaan mendapati, sebanyak 30,000 benih ikan kerapu yang diisi dalam 60 kotak cuba dibawa masuk tanpa permit import yang sah.



“Berikutan itu semua barang dagangan berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Haslina berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

“MAQIS tidak sesekali leka serta memandang remeh perkara ini dalam memastikan tumbuhan, haiwan, ikan, keluaran pertanian dan mikro organisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button