Sempat minta tolong sebelum terbakar

Jitra: Lelaki yang meninggal dunia selepas Proton Persona dipandu terbakar selepas kemalangan di kawasan Hosba di sini, malam tadi dikatakan sempat meminta tolong.

Bagaimanapun, orang ramai yang berada di situ tidak dapat berbuat apa-apa berikutan api marak dengan cepat.

Video mengenai kejadian itu turut tular di media sosial yang memperlihatkan kereta mangsa marak terbakar.



Pemandu trak tunda, Muhammad Ayman Joshua, 36, berkata, dia berada di tempat kejadian selepas dimaklumkan rakan mengenai kemalangan yang berlaku.

“Seperti biasa, jika ada kemalangan, saya akan ke lokasi untuk membantu menunda kereta, tetapi kes malam tadi buatkan saya sedih kerana melihat mangsa masih berada di tempat duduk pemandu.

“Keadaan ketika itu menyedihkan, namun takdir, ajalnya sudah tiba,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada 11.49 malam.



Katanya, kemalangan berlaku membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki tujuh orang termasuk dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan lima tahun, manakala Proton Persona pula dinaiki seorang lelaki.

“Ketika pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan BBP Bukit Kayu Hitam tiba, Proton Persona sudah terbakar 90 peratus.

“Usaha memadam kebakaran segera dibuat dan mangsa lelaki dalam kereta itu disahkan meninggal dunia. Mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya yang memberitahu tujuh mangsa dalam MPV diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS BBP Bukit Kayu Hitam.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading