Syamsul lafaz talak Puteri Sarah pada 18 April ini

KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga mereka bakal berakhir apabila pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, setuju melafazkan talak terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, 38, pada 18 April ini.

Perkara itu disahkan oleh peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir selepas prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi.

“Kedua-dua pihak sudah selesaikan masalah rumah tangga secara aman dan baik. Jadi, minggu depan untuk mengesahkan perjanjian dan lafaz cerai.



“Tarikh baharu ditetapkan pada 18 April ini untuk mencari persepakatan mengenai terma yang sudah dibincangkan. Pada hari itu juga, kami akan rekod di mahkamah rendah dan tinggi kerana membabitkan anak-anak.

“Anak-anak di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi. Selepas lafaz cerai, kami akan rekod ke mahkamah tinggi untuk isu hadanah dan selepas itu, akan dijadikan perintah mahkamah,” katanya kepada BH Online.

Ditanya mengenai proses JKP, Akberdin berkata, semuanya sudah selesai kerana kedua-dua pihak sudah menyatakan persetujuan untuk muktamad tarikh perceraian.

“Pada tarikh akan datang, Syamsul akan lafazkan cerai kerana sudah ada persetujuan,” katanya.



Sementara itu, Puteri Sarah menzahirkan rasa syukur apabila permohonan perceraian diajukan sudah dipersetujui oleh Syamsul mengikut syarat yang akan dibentangkan pada 18 April ini.

“Alhamdulillah, kami berjumpa dan berbincang semua terma serta syarat, semalam. Apa yang saya dan Syamsul mahukan mengenai anak-anak, nafkah dan sebagainya.

“Semalam kami selesaikan semuanya juga. Alhamdulillah, berkat Ramadan, jadi semuanya dipermudahkan hari ini.

“Kami sudah boleh teruskan dengan kehidupan masing-masing dengan tenang. Akhirnya, semua selesai dan tak perlu nak pening-pening lagi,” katanya.



Bagaimanapun, Syamsul enggan mengulas lanjut berhubung hasil persetujuan yang dicapai, hari ini.

“Semua sudah selesai. Ini semua demi kebaikan anak-anak. Saya tak nak cakap lebih-lebih,” katanya ringkas sambil menuju ke tempat letak kereta.

Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof hadir ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais.

Terdahulu, media melaporkan sesi perdamaian antara Syamsul dan Puteri Sarah melalui proses JKP di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) menemui jalan buntu pada 24 Mac lalu.



Puteri Sarah mendakwa usaha berdamai dengan Syamsul tidak akan berlaku, sebaliknya, nekad dengan keputusan bercerai.

Malah, Puteri Sarah enggan bersemuka dengan Syamsul, sebaliknya, meminta proses JKP dilakukan dalam bilik berasingan.

Syamsul pula kecewa apabila harapan bertentang mata dengan Puteri Sarah melalui proses JKP tidak kesampaian.

Mewakili sepupunya, Muhammad Nazri, Syamsul bagaimanapun menghormati proses dikendalikan hampir dua jam walaupun dibuat secara berasingan hingga menyukarkannya mencari jalan perdamaian.



Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Proses JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.



Puteri Sarah dilaporkan memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu gagal menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button