Benarkah lambakan graduan IPTS, luar negara punca isu doktor kontrak?

KUALA LUMPUR: Benarkah jumlah pelajar perubatan di Malaysia dikatakan terlalu ramai hingga menyebabkan graduan bidang itu meningkat sehingga tidak setanding dengan kekosongan jawatan?

Hal ini dikaitkan dengan keghairahan penawaran kursus perubatan di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan kemampuan sebilangan ibu bapa menghantar anak mereka melanjutkan pengajian dalam bidang itu di luar negara.

Meskipun isu berkenaan dilihat boleh ditangani namun beberapa pihak berpendapat bahawa bilangan pelajar baharu dalam bidang perubatan masih perlu dikawal walaupun kerajaan mengumumkan jawatan tetap doktor akan dibuka bermula tahun 2023 hingga 2025.



Apatah lagi pada 2011 terdapat satu moratorium yang menghalang penawaran kursus baharu dalam bidang perubatan di institut pengajian tinggi di Malaysia. Ia berdasarkan jumlah graduan perubatan sedia ada, negara dijangka berupaya mencapai sasaran seorang pegawai perubatan kepada 400 penduduk (1:400) tanpa perlu penambahan kursus baharu.

Pada tahun 2021, kapasiti pengambilan pelajar perubatan dalam negara berjumlah 4,820 pelajar. Angka itu dilihat boleh memberi imbangan yang sihat antara keperluan dan permintaan pasaran kerja serta aspirasi negara.

Bagi Pakar Perubatan Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud, berkata kebanjiran doktor dalam pasaran dilihat sebagai kesilapan besar dari segi perancangan pihak yang berkepentingan.

Katanya, keghairahan memberi lampu hijau kepada Universiti Awam (UA) atau IPTS untuk mengambil lebih ramai pelajar dalam bidang berkenaan menyebabkan berlaku limpahan graduan tanpa tempat bekerja selepas tamat latihan.



Katanya, kenyataan bahawa kerajaan tidak mampu menyediakan tempat oleh kerana permintaan yang luar biasa sukar untuk diterima.

“KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seharusnya dapat menjangka apa yang bakal berlaku, jika pengambilan pelajar tidak dikawal dengan sempurna.

“Adalah tidak bijak untuk meluluskan permohonan tambahan penawaran kursus perubatan tanpa memikirkan kebajikan graduan,” katanya.

Lambakan graduan perubatan hanya akan meningkatkan jumlah doktor kontrak dan menjejaskan kebajikan mereka.



Bagaimanapun Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai, berpandangan secara umum pengambilan pelajar perubatan di institut pengajian tinggi di negara ini sudah dikurangkan selain moratorium berkaitan sudah pun tamat pada 2021.

Namun graduan perubatan yang lulus dari universiti luar negara bukan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Sebaliknya KPT bersama Majlis Perubatan Malaysia (MMC) hanya memantau sama ada program itu boleh diberi pengiktirafan atau tidak.

“Sesiapa yang melepasi syarat minimum boleh belajar di fakulti perubatan di luar negara atau IPTS. Untuk menjadi pengamal perubatan di Malaysia pula, mereka perlu memenuhi syarat MMC.

“Ada sesetengah pelajar perubatan terpaksa menuntut di luar negara atau IPTS kerana gagal mendapat tempat di UA disebabkan jumlah ditawarkan terhad susulan persaingan yang tinggi,” katanya.



Tegas Muruga Raj, bidang perubatan kekal menjadi pilihan ramai lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana masyarakat kita secara umum percaya mudah untuk mendapat pekerjaan dengan pendapatan terjamin sebaik tamat pengajian.

Katanya walaupun dunia perubatan di Malaysia bergelut dengan isu perjawatan tetap juga lambakan graduan perubatan ketika ini, bidang itu masih menjadi pilihan memandangkan profesion berkenaan sentiasa diperlukan sepanjang hayat

“Selain itu, ia juga mungkin dipengaruhi ibu bapa dan sekeluarga yang melihat ia sebagai kerjaya penuh prestij dan mampu mengubah kehidupan sebuah keluarga selain pengalaman yang mereka lalui,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Kesihatan Sains UCSI, Prof Ts Dr Cheah Shiau Chuen, berkata di sebalik lambakan graduan perubatan hari ini, ia masih kekal menarik minat lepasan SPM.



Justeru katanya, apabila IPTS atau universiti luar negara menawarkan kursus perubatan, pelajar yang diterima masuk adalah mereka yang memenuhi kriteria kemasukan seperti mana digariskan MMC.

Katanya, calon akan ditemuduga untuk mengukur keupayaan bakat mereka yang merangkumi kemahiran berfikir kritis, kecerdasan emosi; kemahiran interpersonal dan kemahiran menyelesaikan masalah.

“Dalam erti kata lain, kami juga mencari calon dengan keupayaan mereka memberi perhatian kepada butiran bidang perubatan dan juga penyelesaian mendalam terhadap prognosis pesakit.

“Pastinya ketahanan mereka dalam bidang perubatan ini perlu tinggi memandangkan cabaran mereka hadapi begitu luas,” katanya.



Shiau Chuen berkata apabila sesebuah institusi pengajian tinggi menawarkan jurusan perubatan, setiap pelajar pastinya dilatih sebaik mungkin kerana profesion ini membabitkan kesihatan dan nyawa manusia bukannya sesuatu perkara yang boleh diambil ringan.

Katanya, keperluan terhadap tenaga perubatan sebenarnya meningkat selari dengan pertambahan populasi. Ia juga membawa cabaran kesihatan baharu misalnya jika sebelum ini masyarakat lebih mengaitkan dunia perubatan dengan rawatan penyakit kronik seperti kardiologi, barah atau kencing manis hari ini kes-kes gangguan mental mula mendapat perhatian.

Justeru, keperluan untuk penjagaan perubatan dijangka berkembang pada tahun-tahun mendatang.

“Graduan perubatan mempunyai lebih daripada 60 pengkhususan berpotensi yang boleh diceburi. Ia adalah bidang sangat luas bermula daripada pediatrik hingga psikiatri.

“Oleh itu, perubatan adalah bidang yang sentiasa berkembang dengan anjakan paradigma pengkhususan baharu. Ini dengan sendirinya akan menarik minat generasi muda untuk memilih kursus perubatan,” katanya.

Beliau berkata, setiap pekerjaan menyumbang kepada kualiti hidup bagaimanapun perubatan meletakkan seseorang di barisan hadapan dalam menyelamatkan nyawa.

“Ia memberikan kepuasan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Ini adalah profesion yang menawarkan dimensi unik kepuasan kerja mengatasi kebanyakan kerjaya lain,” katanya lagi.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button