Gerakan dalam Umno halang pembebasan Najib?
Oleh – Bakhtiar Omar
Gerakan ‘broker’ dalam Umno masih wujud dan masih meneruskan agenda menghalang pembebasan Dato Sri Najib Razak yang diusahakan keluarga dan para penyokong bekas PM itu.
Kerakusan mereka semakin terpapar apabila sudah nampak hujah-hujah yang mempertikaikan pengampunan DiRaja untuk membebaskan Najib Razak.
Malang sekali, kali ini para ‘broker’ turut dibantu oleh golongan kecewa yang beranggapan tidak diberikan sebarang keistimewaan dalam kerajaan termasuk tender tertentu walau Umno merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
UMNO MOHON MENGHADAP AGONG
Umno pula menerusi ketetapan yang dikeluarkan sejurus mesyuarat MKT lepas, mengambil keputusan untuk mengadap YDP Agong bagi memohon pengampunan DiRaja untuk Najib.
Sebelum itu, keluarga Najib terlebih dulu memohon pengampunan DiRaja sejurus beliau dihukum penjara oleh Ketua Hakim Negara di Mahkamah Persekutuan.
‘Broker’ dalam Umno yang masih enggan menyerah kalah,masih membuat gerakan secara halus bagi memastikan Najib tidak diberikan pengampunan DiRaja sekaligus memaksa beliau terus berada di Kajang selama hukuman dijalankan.
Platform media sosial digunakan bagi gerakan tersebut apabila ada aktivis tertentu mula ‘mengusik’ beberapa isu ketika Najib menjadi Perdana Menteri.
Kerja ini dipercayai didalangi mereka yang menerima bayaran dalam jumlah yang agak lumayan bagi memastikan Najib akan terus menerima tekanan jika diberikan pengampunan DiRaja.
Walau masih belum dapat dibuktikan secara jelas, gerakan tersebut dapat di’hidu’ apabila siri ‘usik mengusik’ sudah kelihatan di media sosial.
Mengapa golongan ‘broker’ ini begitu gusar jika Najib dibebaskan? Adakah pembebasan Najib akan membongkar ‘kebejatan’ yang telah mereka lakukan selama ini?
Walaupun kini para ‘broker’ hanyalah minoriti dalam parti, gerakan mereka tidak boleh dipandang ringan. Kehadiran mereka ini sangat berbahaya untuk Umno memandangkan para ‘broker’ sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan hasrat mereka tercapai.