‘…saya turut pikul keperitan tragedi itu, maafkan saya’
PUTRAJAYA: Kerani Sam Ke Ting mengakui sentiasa terfikir dan merenung bagaimana kehidupan harian dan masa depan mungkin dinikmati di sisi keluarga tersayang lapan remaja yang terkorban akibat kemalangan disebabkannya.
Ke Ting berkata, perkara itu difikir sepanjang enam tahun kesnya dibicarakan di mahkamah, atas kesalahan memandu melulu sehingga menyebabkan kematian remaja yang menunggang basikal lajak.
Beliau mengakui apa yang dikatakan tidak mencukupi untuk membawa ketenteraman kepada kehidupan keluarga mangsa yang dipercayai berkecamuk dengan pelbagai perasaan yang tidak patut dialami.
“Kata-kata saya tidak dapat membawa arwah kembali ke pangkuan keluarga, namun demikian saya ingin sampaikan kepada keluarga bahawa saya turut memikul keperitan tragedi itu.
“Saya dengan suci hati memohon maaf kepada keluarga mangsa walaupun saya tahu dan faham bahawa maaf berat dihulurkan.
“Akhir sekali, saya berterima kasih pada mahkamah dan hakim kerana mendengar pembelaan saya dengan adil,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Ke Ting atas kesalahan terbabit pada 2017.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah, membuat keputusan secara sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting, tahun lalu.
Ke Ting mengaku dan akur bahawa beliau yang memandu kereta dan menyebabkan kematian pada anak-anak yang disayangi keluarga.
“Namun demikian, kemalangan itu bukan disengajakan oleh saya. Saya merasa sangat simpati bagi nasib dan penderitaan keluarga atas pemergian arwah,” katanya.
BHOnline