Ten Hag bakal lepas 13 pemain

MANCHESTER: Manchester United akan melepaskan beberapa pemainnya pada musim panas ini dalam usaha Erik ten Hag merombak skuad Old Trafford itu.

Sebaik musim ini berakhir dan United mengetahui apakah mereka mampu menambah kejuaraan selain Piala Liga, tumpuan akan beralih kepada pasaran perpindahan musim panas.

United sebelum ini bermasalah dalam melepaskan pemain keluar apabila sebahagian besar diberi lanjutan kontrak yang panjang, tetapi kini mereka bersedia membuang sehingga 13 pemain.



Kelab itu sudah melepaskan lapan pemain skuad utama pada musim panas lalu tetapi hanya mampu mengumpul 10 juta pound (RM54.8 juta) kerana pemain bintang seperti Paul Pogba sempat menamatkan kontrak dan yang lain dijual murah.

Selepas semusim bersama United, Ten Hag kini mempunyai penilaian tersendiri untuk menentukan pemain mana yang cukup bagus untuk membarisi skuadnya.

Pemain Sweden, Anthony Elanga hanya melakukan 24 penampilan dalam semua pertandingan dan lima kali memulakan aksi Liga Perdana Inggeris.

Lebih 12 kelab berminat mendapatkan khidmatnya dan pemain sayap itu tidak sabar untuk mencari minit permainan di luar United.



Eric Bailly dijangka akan meninggalkan Old Trafford secara tetap tetapi tidak akan kekal bersama kelab Ligue 1 di mana dia dipinjamkan, Marseille yang tidak berminat dengan persembahannya.

Masa depan kapten kelab, Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka, Alex Telles, Donny van de Beek, Brandon Williams dan Anthony Martial juga masih belum dipastikan.

Matt Hargreaves dilantik sebagai ketua perunding perpindahan baharu United dan dia perlu segera melakukan perpindahan pemain sebelum pasukan mengharungi sesi pra-musim di Amerika Syarikat.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button