Chelsea perlukan magis atasi Real di Stamford Bridge

Madrid: Frank Lampard berkata, Chelsea mampu mengatasi defisit 0-2 pada peringkat kedua suku akhir Liga Juara-Juara ketika menentang Real Madrid minggu depan dan menegaskan sesuatu yang istimewa boleh berlaku di Stamford Bridge.

Jaringan Karim Benzema dan pemain gantian Marco Asensio membolehkan juara bertahan Real mendominasi perlawanan di ibu kota Sepanyol itu awal pagi tadi tetapi Chelsea masih berpeluang untuk mara walaupun beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh setengah jam.

Gergasi Sepanyol sepatutnya memperoleh lebih jaringan jika mereka lebih klinikal dan pengurus Chelsea, Lampard berkata Real pasti menyesali kegagalan memanfaatkan peluang diperolehi mereka.



“Terdapat beberapa perkara bagus tetapi keputusan adalah realiti,” kata Lampard yang kembali ke kelab itu selepas Graham Potter dipecat.

“Tetapi saya cuma kata kepada pemain sesuatu yang istimewa boleh berlaku di Stamford Bridge. Mereka pasukan yang bagus tetapi kami perlu percaya.”

Namun Chelsea kini gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan terakhir dan Lampard mempunyai seminggu untuk memulihkan keyakinan di bahagian serangan.

“Ia tempoh sukar kepada pemain dan saya fikir mereka mungkin sedikit kurang kepercayaan kepada diri sendiri,” kata penjaring terbanyak dalam sejarah kelab itu.



“Mereka perlu faham betapa bagusnya mereka dan apa boleh mereka lakukan dan kami mungkin kurang aspek itu ketika ini.”

Chelsea mencipta beberapa peluang yang menunjukkan mereka mampu menembusi pertahanan Real minggu depan dengan Joao Felix, Raheem Sterling dan Mason Mount kesemuanya mempunyai peluang terbuka.

Pegurus Real Carlo Ancelotti yang menjuarai Liga Perdana dan Piala FA ketika mengendali Chelsea pada musim 2009-10 bersetuju pasukannya perlu bekerja lebih keras dan banyak aspek perlu diperbaiki.

“Tidak senang duduk dalam perlawanan seperti ini tetapi apa pun saya tetap gembira,” kata jurulatih dari Itali itu.



“Kami perlu kekal tenang dan faham walaupun kami mempunyai kelebihan, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak dan kami perlu teruskan momentum.”

Reuters


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading