Mahu elak tayar, pemandu lori maut

Kluang: Gara-gara mengelak tayar yang berada atas jalan, seorang pemandu lori buah maut selepas terbabas dan terbalik melanggar besi pembahagi jalan di kilometer 68.3 Lebuhraya PLUS, 2.30 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, mangsa dikenali sebagai Muhammad Saifuddin Md Lazan, 35, maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan, selepas tercampak keluar dari kenderaannya dan jatuh ke bawah jambatan.

Katanya, kemalangan turut membabitkan seorang pemandu treler membawa muatan simen berusia 68 tahun dan pemandu Honda Civic berusia 26 tahun. Bagaimanapun keduanya tidak cedera.



“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu lori buah terjatuh ke dalam longkang pembahagi jalan dan cedera parah di kepala serta di badan.

“Seorang pemandu treler yang membawa muatan simen dan pemandu Honda Civic yang berada di belakang lori mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar lori muatan buah-buahan itu yang terbalik atas jalan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori simen dan Honda Civic tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



“Ketiga-tiga kenderaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih dari Balai Bomba dan Penyelamat Renggam berkata, seramai sembilan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori lima tan jenis Isuzu tercampak keluar ke bawah jambatan. Mangsa lain dalam keadaan selamat dan pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak membawa mangsa naik menggunakan pengusung,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button