Nama Orsato hantui Modric, penyokong Madrid

MADRID: Media Sepanyol mendakwa Real Madrid sudah mula ‘menangis’ menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Chelsea selepas mengetahui nama pengadil perlawanan.

Pengadil dari Itali, Daniele Orsato dipilih oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk mengadili perlawanan di Stamford Bridge itu dan ia menimbulkan kebimbangan penyokong Real Madrid susulan kontroversinya dengan kelab gergasi La Liga berkenaan, termasuk dengan pemain tengah, Luka Modric.

Real Madrid membawa bekalan 2-0 ke London hasil jaringan Karim Benzema dan Marco Asensio untuk memastikan cabaran Eropah skuad kendalian Frank Lampard berakhir.



Anak buah Carlo Ancelotti sekali lagi diletakkan sebagai pasukan pilihan mara ke separuh akhir, tetapi timbul persepsi negatif disebabkan pemilihan Orsato.

Orsato pernah mengadili aksi Los Blancos menentang Manchester City pada peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara 2019-20, dan mereka tewas 2-1 pada perlawanan pertama.

Orsato memberikan penalti kepada City selepas Dani Carvajal dipersalahkan kerana mengasari Raheem Sterling, dan pengadil itu kemudian melayangkan kad merah kepada Sergio Ramos kerana menjatuhkan Gabriel Jesus yang berpeluang menjaringkan gol.

Modric juga pernah mengkritik Orsato selepas persembahan pengadil itu ketika aksi Piala Dunia pada Disember lalu.



Argentina menewaskan Croatia 3-0 di separuh akhir sebelum mara ke final dan muncul juara, namun apa yang membuatkan Modric berang ialah penalti yang diberikan Orsato untuk gol pertama pasukan Amerika Selatan itu.

“Ia adalah saat penting dalam perlawanan itu, dia tidak memberikan sepakan sudut tetapi sepakan penalti. Penalti itu mengubah permainan.

“Saya tidak pernah bercakap tentang pengadil, tetapi hari ini mustahil untuk tidak memperkatakannya. Dia antara yang paling teruk saya kenal. Bukan hanya kerana perlawanan hari ini.

“Dia kerap mengadili perlawanan saya dan saya tidak pernah mempunyai kenangan manis tentangnya. Dia satu malapetaka,” kata Modric selepas aksi separuh akhir itu.



Orsato menjadi pengadil profesional sejak tahun 2010 dan sudah mengadili lima perlawanan Liga Juara-Juara musim ini, termasuk kekalahan 3-2 Madrid di tangan RB Leipzig di Jerman.

Dia akan mengetuai barisan pengadil dari Itali untuk pertemuan dengan Chelsea.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button