Kerajaan Melaka usaha pastikan nasib 6 anak Rubiah terbela

MELAKA: Kerajaan negeri akan berusaha memastikan nasib enam anak Allahyarham Rubiah Sabtu yang mati dipercayai dibunuh suami, mendapat pembelaan sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi, berkata pihaknya akan sedaya upaya membantu keluarga bekas mentua mangsa dalam memelihara dan membesarkan enam anak Rubiah berumur antara tiga bulan hingga 18 tahun.

“Ia melalui bantuan yang akan disalurkan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan kelangsungan anak-anak berkenaan dalam meneruskan persekolahan dan kehidupan seperti orang lain,” katanya ketika melawat keluarga berkenaan, di sini.



Beliau berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri akan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi tujuan itu.

“Keluarga ini hendak menampung enam cucu bukanlah mudah dan akan memakan masa lama. Tambahan pula, datuk mereka akan menjalani pembedahan jantung dan memerlukan wang yang banyak.

“Mungkin JKM boleh menyalurkan bantuan sara hidup dan persekolahan, manakala JAIM pula makanan dan lain-lain yang dirasakan perlu,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button