Layankan saja! – Nabila Razali

PANTASNYA masa berlalu, kemunculan penyanyi dan pelakon Nabila Razali, 31, di pentas hiburan tanah air sudah menginjak sedekad lamanya sejak 2013, bermula sebagai seorang daripada bintang Akademi Fantasia (AF).

Seiring beredarnya waktu, figura yang memiliki ijazah Sarjana Muda Senibina, Universiti Sains Malaysia (USM) ini, ternyata sudah berjaya ‘memahat’ nama dan bakatnya sebaris selebriti wanita popular tanah air yang lain.

Kini, kehadiran Nabila semakin dikenali ramai, apatah lagi dia sering dikaitkan dengan gimik, termasuk ada kalanya dikecam netizen apabila nyanyian nada tingginya tidak sampai.



Enggan mengalah dengan segala situasi dihadapi, Nabila layankan saja setiap kritikan dan kecaman diterima kerana sedar bukan mudah untuk dia puaskan hati semua orang.

Namun, sejak dua tahun lalu, Nabila memaklumkan dia mengalami masalah pada peti suaranya yang memerlukan masa untuk pulih. Katanya, dia kini amat bersyukur keadaan itu semakin baik.

Bertemu penyanyi lagu Cemburu dan Patah Hati itu baru-baru ini, dia mengakui masalah peti suaranya masih dalam proses pemulihan. Namun jelasnya, dia gembira karier nyanyiannya tetap aktif dengan kehadiran beberapa lagu baharu.

“Saya masih kurang sihat sebab masalah kesihatan ini sebenarnya membabitkan seluruh badan, bukan peti suara saja. Bila badan kita tak sihat, tetap akan ganggu bahagian yang lain. Tapi, saya tak pernah letakkan isu kesihatan ini satu penghalang untuk saya tak ‘perform’ atau sebagainya.



“Alhamdulillah, setakat ini saya masih buat kerja macam biasa, cuma kena peka juga pada kesihatan diri. Saya pun tetap ada berjumpa doktor dan ambil ubat, tapi tak adalah sakit yang serius dan perlu dibimbangkan,” katanya.

Nabila berkata, sekarang dia berasakan masalah peti suaranya semakin bertambah baik berbanding dua tahun lalu. Jelasnya, kalau dulu dia tidak selesa langsung, tapi kini ibarat macam ‘selesema biasa’ saja.

Mengulas karier nyanyiannya, Nabila teruja melancarkan lagu terbaharu, Tulus duet bersama penyanyi, Adi Priyo. Katanya, ini kali pertama dia bekerjasama dengan Adi merakamkan lagu ciptaan komposer, Aiman Sidek.

“Bila dengar saja melodi lagu Tulus ini memang dah terasa sesuai dengan vokal Adi. Malah, Adi juga antara nama penyanyi lelaki yang ada dalam ‘list’ (senarai) saya untuk duet bersama. Walaupun lagu ini sesuai juga dinyanyikan secara solo.



“Apa yang pasti, kombinasi vokal kami serasi untuk masing-masing menceritakan isi hati mewakili lelaki dan wanita. Kalau sebelum ini, lagu saya banyak bercerita mengenai ‘aku terluka’, cinta terputus. Tapi, kali ini kisah lagunya amat berbeza,” katanya.

Menurut Nabila, bagaimanapun rezekinya dalam nyanyian agak murah tahun ini apabila menghasilkan beberapa lagu duet baharu. Terdahulu, Nabila tampil dengan lagu Selagi Ku Ada duet bersama Khai Bahar.

Mahu tembusi Indonesia



Selain peluang berduet dengan Adi dan Khai, Nabila juga menyifatkan rezeki bermaknanya yang berjaya menghasilkan projek istimewa bersama penyanyi dari Indonesia, Keisya Levronka menerusi lagu duet, Tak Ingin Usai.

Lagu yang muzik videonya dimuat naik di YouTube sejak enam bulan lalu, sehingga kini mencatat lebih tiga juta tontonan berserta pelbagai komen positif ditinggalkan pedengar negara jiran itu.

Nabila berkata, dia tidak menduga ada segelintir warga maya dari Indonesia yang sudah mengenali dirinya. Kata pelakon drama Pesan Pada Hati ini, dia melihat maklum balas diberikan sebagai penerimaan positif orang luar kepadanya.

“Selagi ada ruang dan peluang, saya akan cuba sedaya upaya berkarya sekreatif mungkin dan sejauh mungkin. Jadi, saya akan pastikan dapat terokai pengalaman baharu yang lebih banyak lagi.



“Sejujurnya, apabila tengok ada kawan-kawan lain yang berjaya melebarkan karier seni mereka menembusi pasaran luar seperti di Indonesia, saya pun ada keinginan itu. Saya sebagai anak seni tidak boleh rasa selesa duduk di tempat sama.

“Saya juga mahu kembangkan lagi bakat diri mengikut apa yang boleh dibuat dengan muzik kita, ‘circle’ kita. Bahkan, saya teringin nak duet lagi dan lagi dengan penyanyi Indonesia lain, termasuk dapat merakamkan lagu daripada komposer di sana juga,” katanya.

Nabila yang belum ada kekasih hati berkata, dia mahu memfokuskan sepenuh usaha dan kerja kerasnya pada memantapkan karier seni. Katanya, dia sentiasa tidak mahu melepaskan peluang yang datang.

METRO




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading