Mangsa kenal suspek tembak depan rumah

Oleh – Syeikh Baran


Mangsa kenal suspek tembak depan rumah
Keadaan cermin belakang kereta Perodua Viva yang pecah selepas ditembak suspek dalam kejadian di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas di Pasir Mas semalam.

Lelaki yang merupakan mangsa dalam kes empat das tembakan terkena sebuah kereta dan trak pikap miliknya Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas dekat Pasir Mas awal pagi semalam dipercayai mengenali suspek terlibat kejadian tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 33 tahun kenal dengan kedua-dua suspek sekali gus menjadikan individu yang terlibat sudah dikenal pasti.



Menurutnya, motif sebenar kejadian tembakan itu bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.

“Siasatan mendapati, mangsa mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau termasuk Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perlantikan Watikah Badan Kepimpinan Muda Pelajar 2024/2025 dan Buku Catatan Disiplin di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki memberitahu, berdasarkan rekod jenayah lampau mangsa, polis tidak menolak anggaran 80 peratus kemungkinan suspek bertindak melepaskan tembakan selepas berlaku konflik melibatkan dua belah pihak dalam kes tersebut.

Menurutnya, senjata api yang digunakan oleh suspek adalah jenis semi auto berdasarkan penemuan kelongsong peluru di lokasi kejadian.



“Kita percaya suspek masih berada di dalam negeri ini dan usaha untuk mengesan kedua-dua lelaki itu sedang giat dijalankan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Kosmo! hari ini melaporkan, tidak diketahui apa puncanya, seorang lelaki yang dipercayai baru seminggu keluar hospital akibat ditetak menjadi sasaran pihak tidak dikenali yang melepaskan empat das tembakan semalam.

Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, sebuah kereta jenis Perodua Viva dan trak pikap yang diletakkan di hadapan rumahnya di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas di sini rosak akibat terkena tembakan tersebut.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button