Jangan guna nama saya untuk dapatkan projek – Ab Rauf

AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi amaran kepada mana-mana pihak, termasuk orang politik dan ketua jabatan supaya tidak menggunakan namanya untuk kepentingan peribadi.

Tegasnya, beliau sesekali tidak mengizinkan pihak berkenaan mempergunakan nama ketua menteri untuk memperoleh apa-apa faedah termasuk membida sesuatu projek daripada mana-mana pihak.

“Di bawah pentadbiran saya, tiada sesiapa pun dibenarkan menggunakan nama Ketua Menteri Melaka untuk mendapatkan apa-apa projek. Jika perkara terbabit berlaku, ketua jabatan perlulah merujuk semula dengan saya sendiri atau pegawai kanan saya.



“Malah, pegawai kanan saya pun tidak boleh menggunakan nama saya untuk mendapatkan projek, ini adalah arahan tetap yang saya berikan kepada semua ketua jabatan.

“Kalau ada ketua jabatan yang meluluskan projek menggunakan nama saya, saya akan tunjukkan pintu yang luas untuk ketua jabatan itu keluar dari Melaka.

“Saya beri amaran ini kerana saya faham dan maklum (bahawa) sejak awal saya masuk gelanggang politik di Melaka ini, ramai yang menggunakan nama saya untuk mendapatkan projek, (kononnya) yang ini King’ (merujuk kepada gelaran orang tertentu terhadap dirinya) punya, yang ini King punya…,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada penjawat awam Melaka, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini lewat petang semalam.



Sehubungan itu, katanya, beliau sendiri akan menguruskan sesuatu projek yang difikirkan baik untuk kepentingan rakyat dan negeri Melaka, tanpa perlu melantik `orang tengah’ untuk menguruskannya.

“Untuk penjawat awam di Melaka, izinkan saya memberitahu sekali lagi bahawa saya tidak mengizinkan mana-mana individu menggunakan nama saya untuk mengambil kesempatan dalam meraih projek dan saya akan uruskannya sendiri demi untuk kestabilan rakyat dan kerajaan Melaka,” katanya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading