“Cahaya terang” kelihatan di ruang udara Kyiv

Kyiv: Kilat di langit ibu negara Ukraine semalam mendatangkan kekeliruan dan kebimbangan apabila pihak berkuasa memaklumkan ia disebabkan satelit NASA memasuki semula atmosfera, namun agensi angkasa Amerika Syarikat (AS) itu menafikannya.

“Cahaya terang” kelihatan di ruang udara Kyiv sekitar 10 malam (1900 GMT), kata Ketua Pentadbiran Ketenteraan Kyiv, Sergiy Popko di Telegram.

Susulan itu amaran serbuan diaktifkan tetapi “pertahanan udara tidak beroperasi” dalam negara terkepung itu yang berjuang melawan pencerobohan Rusia.



“Menurut maklumat awal, fenomena ini hasil daripada satelit angkasa NASA yang jatuh ke bumi,” kata Popko.

Bagaimanapun jurucakap NASA menafikan dan memberitahu AFP yang satelit berkenaan “masih berada di orbit”.

Agensi angkasa AS mengumumkan minggu ini bahawa kapal angkasa Reuven Ramaty High Energy Solar Spectroscopic Imager (RHESSI) seberat 660 paun (300 kilogram) yang sudah pun bersara, akan memasuki semula atmosfera pada Rabu.

“Bagaimanapun, kemasukan semula itu belum lagi berlaku – RHESSI masih di orbit. NASA dan Jabatan Pertahanan terus menjejaki RHESSI. Tiada satelit NASA lain yang memasuki semula atmosfera awal hari ini (semalam),” kata jurucakap NASA.



 

 

RHESSI yang digunakan untuk memerhati suar suria, dilancarkan ke orbit bumi rendah pada 2002 dan ditamatkan pada 2008.

Spekulasi dan meme berleluasa di media sosial Ukraine selepas video mengenai pancaran kilat itu menerangi langit Kyiv.



Dalam kenyataan pada Isnin, NASA berkata, pihaknya menjangkakan kebanyakan kapal angkasa RHESSI akan terbakar apabila memasuki atmosfera.

“Tetapi beberapa komponen dijangka bertahan daripada kemasukan semula,” menurut NASA yang menambah risiko bahaya ke atas sesiapa di Bumi adalah rendah iaitu satu daripada 2,467.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button