‘Jalan Petaling, Jalan Chow Kit dan Jalan Kenanga lokasi utama jual barang tiruan’

KUALA LUMPUR: Kemasukan barangan tiruan dari luar negara tanpa dipasang sebarang jenama menyukarkan pihak berkuasa membanteras sepenuhnya kegiatan penjualan barangan itu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin, berkata rampasan sukar dibuat pada peringkat kemasukan kerana kerajaan tidak menghalang import pakaian/tekstil dari luar, selagi tidak menyalahi mana-mana peraturan seperti penggunaan cop dagang secara salah.

“Misalnya, pakaian tiruan yang dibawa masuk dari Bangladesh, kebanyakannya masuk tanpa sebarang jenama dan apabila lepas dari pemeriksaan pihak berkuasa sama ada di pelabuhan atau di lapangan terbang, sindiket akan memasangkan jenama tiruan dan membuat cetakan dalam negara.



“Ketika dibawa masuk, ia tidak menjadi kesalahan sebab tiada jenama atau jenama syarikat pada item. Ini kerana yang dipaten dan didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) adalah jenama paten itu saja (selepas ia diletakkan jenama),” katanya.

Selain itu, Ariffin berkata, pihaknya turut berdepan kesulitan untuk membasmi kegiatan berkenaan apabila dalam sesetengah keadaan, mereka tidak mendapat kerjasama penuh daripada wakil cap dagang ketika melakukan serbuan.

Beliau berkata, keberadaan wakil cap dagang dalam setiap operasi atau serbuan di stor mahupun premis memiliki barangan tiruan adalah penting, kerana pengesahan status sama ada barangan itu tiruan atau tidak hanya boleh dilakukan oleh mereka.

“Kami menerima banyak laporan dan aduan orang awam mengatakan berlaku penjualan barangan tiruan di sesuatu lokasi. Mengikut prosedur, kami perlu berhubung dengan wakil cap dagang untuk mereka turut serta dalam operasi.



“Misalnya, dalam serbuan di Jalan Petaling baru-baru ini membabitkan lebih 30 wakil cap dagang, namun ada daripada mereka tidak hadir, jadi kami tidak boleh mengambil barangan itu walaupun diketahui ia barang tiruan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran terbesar dihadapi pihaknya adalah mendidik masyarakat supaya menghormati cap dagang, sekali gus menghapus mentaliti membeli barangan tiruan semata-mata bagi memenuhi kehendak diri untuk bergaya.

Katanya, apabila pengguna membeli barangan tiruan, mereka mungkin merasakan sudah ‘memiliki’ produk berjenama, namun sebenarnya ia menghancurkan institusi yang mencipta jenama itu dan akhirnya memberi kesan secara langsung kepada ekonomi negara.

“Mengikut statistik, tiga lokasi panas penyimpanan dan penjualan barangan tiruan di ibu negara yang dikenal pasti ialah adalah di Jalan Petaling, Jalan Chow Kit dan Jalan Kenanga,” katanya.



Katanya, hasil risikan mendapati kebanyakan sindiket itu juga tidak berminat berpindah ke lokasi lain memandangkan lokasi itu sudah menjadi hab dikenali ramai untuk mendapatkan barangan tiruan dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong asing.

“Jadi, di situlah menjadi sasaran utama kami dan KPDN akan membanteras kegiatan ini,” katanya.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button