Penunggang motosikal maut langgar kereta rosak
SUNGAI PETANI: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar sebuah kereta rosak di lorong kecemasan di Kilometer 78.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, awal pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Faris Mohamad Zaini, 19, dari Taman Kiara Mas, Pendang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata kejadian dipercayai berlaku pada jam 3.30 pagi apabila motosikal Yamaha Y15 yang ditunggangi mangsa dari arah Gurun menghala ke Alor Setar melanggar kereta jenis Mazda.
“Sebaik tiba di lokasi, motosikal terbabit dipercayai melanggar kereta yang ketika itu berada di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.
“Impak perlanggaran yang kuat itu menyebabkan penunggang motosikal maut serta-merta di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaidy berkata, pemandu kereta berusia 41 tahun itu dipercayai sudah meletakkan tanda kon di tempat kejadian selepas kereta itu rosak.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
“Pemandu kereta dari Kangar, Perlis itu tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
BHOnline