Wanita maut, Perodua Axia bertembung Proton Waja

Pasir Gudang: Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera selepas tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Masai-Kong Kong di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, kemalangan jam 9.45 malam itu membabitkan dua kereta iaitu Perodua Axia dan Proton Waja.

“Kemalangan berlaku ketika Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun dari Kong Kong ke Masai hilang kawalan dan memasuki arah bertentangan.



“Perodua Axia itu kemudian bertembung secara berhadapan dengan Proton Waja yang sedang bergerak di lorong sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, penumpang Perodua Axia iaitu seorang wanita berusia 20-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Mohd Roslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Sharol Suboh berkata, 10 anggota dari BBP Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.



“Kemalangan ini mengakibatkan dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita dalam Perodua Axia tersepit di tempat duduk masing-masing, manakala seorang lelaki iaitu pemandu Proton Waja pula tercampak keluar dari kenderaan dan mengalami kecederaan.

“Penumpang wanita yang tersepit dalam Perodua Axia meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan pegawai perubatan yang hadir sebaik mangsa dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, pemandu Perodua Axia yang cedera dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru menggunakan EMRS.

Katanya, operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.15 malam.



METRO


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading