Matip wira Liverpool

London: Tandukan kencang Joel Matip membolehkan Liverpool menang 2-1 ke atas West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London awal pagi tadi sekali gus menghidupkan peluang bersaing di peringkat Eropah musim depan.

The Reds kini di tangga keenam dengan 53 mata, memintas Tottenham Hotspur menerusi perbezaan jaringan dan satu mata di belakang Aston Villa tetapi berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Pelawat mengasak pada awal permainan tetapi West Ham yang membuka tirai jaringan minit ke-12 menerusi rembatan Lucas Paqueta selepas bertukar hantaran dengan Michail Antonio.



Namun kedudukan itu hanya bertahan enam minit apabila penyerang Belanda Cody Gakpo menyamakan kedudukan dari jarak dekat.

Hammers bangkit lebih garang selepas rehat dan tidak bernasib baik apabila jaringan Jarrod Bowen dibatalkan susulan VAR mendapati dia terlebih dahulu ofsaid pada babak pertama.

Liverpool yang lebih menguasai perlawanan akhirnya mendapat gol kemenangan minit ke-67 selepas Matip menanduk kencang sepakan sudut Andy Robertson.

Pengurus Juergen Klopp gembira dengan prestasi dan keputusan perlawanan tetapi dia berkata, tiket Liga Juara-Juara Eropah masih jauh dalam genggaman mereka.



“Tidak, bukan dalam tangan kami, jadi mengapa saya perlu bercakap mengenainya?” katanya kepada BT Sport. “Kami hanya perlu meraih tiga mata sebanyak mungkin tetapi mereka berada dalam posisi lebih baik namun kami akan mencuba sehingga aksi terakhir.”

West Ham yang sebelum ini memungut tujuh mata daripada tiga perlawanan jatuh satu tangga ke kedudukan ke-14, lima mata di depan Leicester City yang berada di tangga ke-18.

Reuters



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button