Barcelona gagal jinakkan Rayo

MADRID: Barcelona mensia-siakan peluang keemasan untuk melebarkan kedudukan di puncak La Liga selepas tewas 2-1 di tangan Rayo Vallecano.

Kedua-dua gol Rayo Vallecano itu dijaringkan Alvaro Garcia dan Fran Garcia pada setiap babak perlawanan di Stadium Vallecas.

Dengan berbaki tujuh perlawanan, Barca mendahului carta liga dengan 76 mata, 11 mata di depan penghuni tangga kedua Real Madrid yang juga dikejutkan dengan kekalahan di tangan Girona sebelum itu.



Rayo Vallecano berada di kedudukan kesembilan dengan 43 mata, ketinggalan empat mata di belakang kelompok empat teratas yang menjanjikan kelayakan saingan Eropah.

Kemenangan Rayo juga menamatkan rekod tujuh kemenangan berturut-turut Barca dalam saingan liga.

Mereka adalah pasukan yang lebih baik untuk sebahagian besar perlawanan menentang Barca dan membuka jaringan pada minit ke-19 selepas Sergio Camello mencabar Gavi.

Dia kemudian dengan pantas mengumpan Alvaro Garcia yang melepaskan rembatan rendah yang tidak dapat dihalang untuk melepasi Marc-Andre ter Stegen.



Pasukan tuan rumah terus memberikan tekanan dan melepaskan beberapa peluang berharga namun hampir disamakan kedudukan menerusi jaringan Robert Lewandowski.

Begitupun, mereka mampu menarik nafas lega apabila jaringan Lewandowski tidak dikira selepas tayangan semula VAR menunjukkan ofsaid.

Rayo meledak gol kedua pada minit ke-52, berterima kasih atas usaha dilakukan Fran Garcia yang mencuri bola dari Frenkie de Jong sebelum membolosi gawang dikawal Ter Stegen.

Camello terlepas peluang berharga pada minit ke-64 manakala Unai Lopez juga mengalami nasib sama untuk menambah jaringan Rayo.



Begitupun, Barca berjaya mengurangkan defisit menerusi Lewandowski pada minit ke-83 sebelum perlawanan dimuktamadkan dengan keputusan 2-1.

“Rayo bermain dengan sangat baik. Mereka layak untuk menang dan kami tidak dapat mencapai sasaran malam ini,” kata pemain pertahanan Barca, Ronald Araujo.

“Apa yang baik, kami mempunyai kelebihan dalam kedudukan liga dan kami akan bermain dua perlawanan di laman sendiri, giliran kami pula untuk bermain di laman sendiri.”

REUTERS




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading