Itali bantu rawat 100 kanak-kanak cedera di Gaza

Oleh – Syeikh Baran


Itali bantu rawat 100 kanak-kanak cedera di Gaza
DUA kanak-kanak Palestin yang parah dirawat di Hospital Al-Aqsa di Semenanjung Gaza.-AFP

Seramai 100 kanak-kanak Palestin yang cedera di Gaza akibat perang akan menerima rawatan perubatan di hospital Itali, lapor Kementerian Pertahanan Rom.

Sistem kesihatan di Gaza hampir lumpuh sepenuhnyanya selepas lebih tiga bulan pengeboman dan pertempuran yang dahsyat oleh rejim Zionis di wilayah Palestin yang terkepung itu.



Kementerian itu mengumumkan permulaan operasi untuk membawa 100 kanak-kanak Palestin dan keluarga mereka dari Semenanjung Gaza ke kemudahan hospital Itali.

“Seramai 30 kanak-kanak pertama akan dipindahkan dalam beberapa hari akan datang dengan pengangkutan tentera udara antara Itali dan Mesir.

“Sementara 30 lagi kanak-kanak akan tiba pada akhir bulan ini menaiki kapal tentera Itali, Nave Vulcano yang akan meninggalkan pelabuhan El Arish di Mesir tidak lama lagi, ” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kanak-kanak itu akan dimasukkan ke beberapa hospital di bandar Itali termasuk Rom, Bologna, Florence dan Genoa.



Dalam pada itu, kementerian berkenaan memaklumkan sedang berbincang dengan negara-negara di rantau ini untuk menubuhkan hospital medan tentera.

Semalam, tujuh kanak-kanak Palestin yang cedera tiba di Perancis untuk rawatan perubatan, pemindahan kedua sedemikian ke negara Eropah selepas dua lagi kanak-kanak Palestin diterbangkan pada akhir Disember lalu.

Perang di Gaza meletus apabila kumpulan pejuang Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu yang didakwa mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang, kebanyakannya penduduk awam.

Menurut kerajaan Hamas, setakat ini sekurang-kurangnya 25,700 rakyat Palestin, majoriti penduduk awam terbunuh di Semenanjung Gaza dalam pengeboman dan serangan darat Israel.



Kelmarin, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai ancaman kebuluran yang semakin serius di wilayah itu. – AFP

Sumber – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button