‘Nama saya sudah digugurkan sejak tahun lalu lagi’ – Adi Putra

Kuala Lumpur: “Setiap kali dia (penerbit) keluarkan kenyataan mengenai filem Mat Kilau dan terbaharu mengenai prekuel filem itu, ramai tanya terutama peminat adakah saya terbabit. Sedangkan nama saya sudah digugurkan sejak tahun lalu lagi.”

Demikian kata pelakon terkenal Datuk Adi Putra mengenai status dirinya dalam filem terbitan Studio Kembara itu sekali gus menjawab persoalan dalam kalangan peminat.

Adi berkata, penerbitnya, Abdul Rahman Mt Dali perlu bersikap telus dan profesional dalam menyatakan prekuel filem itu yang didakwa tidak ada kaitan langsung dengan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.



“Saya kasihan kerana peminat filem ini tertanya-tanya sambungan filem ini. Kalau google balik, dari tahun lepas dia (penerbit) sudah gugurkan nama saya dan Beto Kusyairy. Tamat riwayat di situ.

“Berdasarkan kenyataannya pada 23 April, dia cakap prekuel Mat Kilau boleh cecah ‘box office’ biarpun tanpa pengarah Syamsul Yusof. Apa motif dia? Motif dia saja tahu. Cuma saya tak nak dia kelirukan peminat. Kalau prekuel ini tidak membabitkan Mat Kilau, kena jelaskan. Bercakap perkara sebenar. Adalah salah memberikan harapan palsu.

“Saya memang tak rasa apa, sebab sudah digugurkan. Cuma, apabila media cari saya dan cuba dapatkan kenyataan, saya pun tak tahu nak jawab macam mana. Bila keluar dan jumpa peminat, mereka tanya lagi mengenai prekuel. Saya kasihan kepada peminat yang sokong filem Mat Kilau sampai ‘box offfice’,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, menurut sumber Harian Metro, filem yang dikatakan prekuel itu berjudul Awang dan diarahkan oleh pengarah filem Geran.



Terdahulu, Harian Metro pada 13 Oktober melaporkan, Abdul Rahman Mt Dali mengesahkan pengarah, Syamsul Yusof serta dua pelakon utama filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan iaitu Adi Putra dan Beto Kusyairy tidak akan terbabit dalam pembikinan karya prekuel Mat Kilau, akan datang.

Kemudian, pada 23 April lalu, Abdul Rahman yakin prekuel filem Mat Kilau akan berjaya mencatat ‘box office’ kerana digarap oleh pengarah berkaliber dipilih, dilengkapi barisan pelakon yang bagus dan jalan cerita berkesan.

Dia bagaimanapun masih lagi mahu merahsiakan pengarah dipilihnya menggantikan Syamsul Yusof serta barisan pelakon yang baginya memiliki karisma tersendiri yang diminati ramai.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button