ND Lala gembira beraya, hati Syada remuk lihat ibu kesedihan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Syada Hamzah, 25, berkongsi hatinya remuk melihat wajah ibunya saat orang lain menyambut Syawal bersama ibu bapa, suami dan anak-anak.

Anak bongsu kepada pasangan Datuk ND Lala dan Datin Fauziah Sarman itu berkata, dia sebolehnya cuba mengelak ibunya daripada mendengar lagu raya yang sedih kerana tidak mahu melihatnya menangis.

“Saya kasihan melihat emak, sambil beraya, dia tengok sahaja orang lain dengan ibu bapa, suami dan anak-anak. Ia meremukkan hati saya.



“Saya perlu menjaganya supaya tidak terdengar lagu raya sedih. Sebelum dia mula menangis, saya sudah menangis dahulu.

“Emak yatim piatu, jika datuk dan nenek masih ada tentu emak gembira. Semalam adik beradik perempuan emak datang menziarah, sedikit sebanyak menggembirakan hati emak,” kata Syada yang berterima kasih kepada ibu saudaranya.

Kata Syada atau Nursyuhada Amir Amzah sengaja mengalihkan perhatian ibunya.

“Terima kasih Mak Ngah dan Mak Lang sudi datang. Cucu saudara penuh satu rumah. Saya sengaja buat mak sibuk, balik sahaja ke rumah kami berdua terus ‘K.O’.



“Saya sayang mak,” tulisnya dalam Instagram Stories (IGs).

Syada turut meluahkan rasa sayu apabila sambutan Aidilfitri tahun ini tidak sempurna apabila ia hanya diraikan berdua bersama ibunya.

Bagaimanapun, Syada seronok apabila akhirnya dapat berkumpul bersama adik-beradik lain pada hari raya keempat.

“Dari hari pertama rasa terasa rendah diri tengok orang lain ada keluarga yang sempurna, berpasangan (saya tumpang gembira untuk mereka).



“Semalam saya rasa sebak betul! Akhirnya dapat sambut raya dengan adik-beradik lengkap.

“Jangan salah anggap, beraya berdua dengan mak pun seronok. Dia layan sahaja saya beraya, tema warna raya tahun ini saya yang pilih.

“Dia ikut sahaja apa saya nak makan,” luah Syada lagi.

Sejak semalam, tular video singkat memperlihatkan kelibat ND Lala berada di rumah pelakon Kazar Saisi selepas dikatakan menghilangkan diri dan didakwa berkahwin dua.



Pada 1 April lalu, Fauziah mendedahkan foto seorang wanita berserta namanya di Instagram mendakwa individu itu mengganggu rumah tangganya.

Menerusi kapsyen foto itu, Fauziah menulis ‘penyondol’ Siti Munirah Abd Ghani, namun pada hari berikutnya mengemas kini hantar berkenaan kepada ‘Isteri Datuk ND Lala… Datin Siti Munirah Abd Ghani’.

Pada 3 April lalu, Fauziah ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi dipercayai bagi tujuan memfailkan perceraian terhadap ND Lala, namun dinafikan Syada.

Untuk rekod, ND Lala mendirikan rumah tangga bersama Fauziah pada 1989 dan pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata termasuk Nur Shahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button