Jumpa semua anak, nak lepas rindu – anak Mael XPDC
MUAR: Ingin jumpa semua anak-anak untuk melepas rindu. Demikian kata-kata terakhir vokalis kumpulan XPDC, Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael kepada anak-anaknya.
Anak ketiganya, Syed Muhammad Israfil, 26, berkata, arwah melahirkan hasrat ini beberapa hari menjelang Aidilfitri lalu dan bersyukur dapat memenuhi impiannya.
“Kami lima beradik dapat berkumpul dan beraya bersama ayah. Sebelum ini, kami masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.
“Namun, kami tidak melihat kelainan atau perubahan sikapnya kebelakangan ini,” katanya kepada Harian Metro.
Syed Muhammad Israfil berkata, ayahnya sememangnya mengalami semput dan diberitahu arwah sesak nafas semasa ketika keluar membeli barang keperluan rumah pada waktu Maghrib.
“Kakak bawa ayah ke Hospital Muar dan selepas Isyak, kami dikejutkan dengan berita ayah sudah meninggal dunia.
“Ayah juga pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital akibat penyakit semput. Namun ayah tidak pernah tunjuk kesakitan di depan anak-anak.
“Beliau memang dibekalkan ubat oleh hospital, tetapi dia sebenarnya kuat cuti (skip) makan ubat,” katanya.
Syed Muhammad Israfil kerap mengiringi persembahan arwah dan sesekali menggantikan tempat Mael atas pentas tidak berhasrat menggantikan posisi arwah bapanya itu.
“Saya lebih selesa bergerak di belakang tabir sebagai penyusun muzik dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, berita kematian Mael, 55, mula tular apabila disahkan anak perempuannya, Sharifah Irfatasha.
Surat daftar kematian yang dikeluarkan Hospital Muar menyebut penyanyi ini menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar pada jam 8.41 malam.
Difahamkan, punca kematian akibat sesak nafas. Allahyarham meninggalkan lima cahaya mata.
HM Online