Polis tahan tiga suspek bantu siasatan lelaki ditembak di kaki

Bachok: Polis menahan tiga suspek berusia antara 23 hingga 28 tahun bagi membantu siasatan kes seorang lelaki ditembak di kaki, semalam.

Terdahulu, polis menerima satu laporan daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berhubung penerimaan pesakit berusia 27 tahun yang cedera kaki kanan dipercayai akibat kesan tembakan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa dibawa ke hospital jalan 9.32 pagi.



Katanya, bertindak atas maklumat itu, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok menahan tiga suspek jam 1.20 tengah hari hingga 2 petang bagi membantu siasatan bertempat di Balai Polis Gunong, Bachok.

“Hasil siasat awal, dua daripada suspek datang ke kawasan tali air di Kampung Tepus, Gunong, Bachok untuk bermain judi.

“Manakala seorang lagi suspek datang untuk melakukan samun hasil perniagaan dan perjudian yang dipercayai dijalankan bersama mangsa tembak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata, suspek ketiga dipercayai turut disertai tiga lagi suspek yang masih bebas.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati mangsa dan tiga suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik dan jenayah.



“Ujian air kencing mendapati salah seorang suspek turut positif Methamphetamine,” katanya.

Siasatan juga mendapati mangsa dan kesemua suspek saling mengenali.

Kesemua tangkapan direman pada hari ini dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

“Polis juga giat mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas dan meminta masyarakat yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button