Hanya satu gangsa sasaran angkat berat

KUALA LUMPUR: Sasaran skuad angkat berat di Sukan SEA Kemboja 2023 terpaksa diturunkan sebanyak dua kali disebabkan pertindihan tarikh dengan kejohanan kelayakan ke Olimpik di Korea Selatan bulan depan selain faktor kecederaan.

Pada awalnya, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) menyasarkan dua pingat perak dan dua gangsa namun terpaksa diturunkan kepada dua gangsa selepas Muhammad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan tidak dapat menyertai temasya untuk memberi tumpuan kepada proses kelayakan Olimpik Paris 2024 di Korea Selatan pada tarikh yang sama.

Begitupun, pihak persatuan sekali lagi terpaksa menurunkan sasaran mereka kepada satu gangsa selepas prospek sebelum ini yang juga pemenang gangsa dalam kategori 89 kilogram (kg) di Vietnam 2021, Muhammad Hafiz Shamsuddin mengalami kecederaan, awal bulan ini.



Justeru itu, hanya satu gangsa dijadikan sandaran di Phnom Penh dengan taruhan tunggal diletakkan di bahu pemenang gangsa di Hanoi tahun lalu, Muhammad Erry Hidayat dalam kategori 73kg.

Selain Erry yang juga pemenang perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, turut menyertai temasya dwitahunan di Kemboja nanti adalah tiga atlet muka baharu iaitu Muhammad Danial Dahlan (67kg lelaki), Nur Atikah Mohamad Sobri (59kg wanita) dan Nur Syazwani Radzi (64kg).

Erry bersama pasukan yang sedang menjalani latihan di Surabaya, Indonesia sehingga 1 Mei ini turut mengalami kecederaan di bahu dan lututnya namun atlet berusia 24 tahun itu nyata tidak mahu faktor berkenaan dijadikan alasan.

“Saya rasa macam ralat kerana lepas satu-satu saya perlu hadap tetapi saya boleh bertahan, saya akan buat sehabis baik untuk membawa pulang pingat untuk Malaysia.



“Aznil dan Aniq menjadi pembakar semangat. Mereka rakan sparing saya (di Surabaya). Kalau mereka tak ada, memang saya tak bersemangat, mereka juga selalu bantu saya dalam latihan.

“Saya nak cuba berada di tahap sama dengan Rizki Juniansyah dan Erwin (Rahmat Erwin Abdullah)… agak susah kerana nak cuba bertahan dengan kecederaan yang ada.

“Saya mempunyai pesaing yang semua pemenang Olimpik dan Sukan SEA, untuk acara ini, bagi saya susah saingannya berbanding Komanwel kerana persaingannya lagi kuat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat PABM, Wan Muhammad Hafiz Wan Izanatar ketika dihubungi menjelaskan, Indonesia, Thailand dan Vietnam menjadi pencabar utama skuad lelaki dan wanita negara di Phnom Penh.



“Hafiz sudah mengalami kecederaan sejak Sukan Komanwel sebelum ini. Dia hampir pulih tetapi ketika menjalani latihan ke Sukan SEA, dia mengalami kecederaan di lutut pada awal bulan ini dan dia tak dapat pergi (Sukan SEA).

“Bagi saya, kategori disertai Erry sengit. Indonesia, Thailand dan Vietnam mempunyai juara dunia kategori itu tetapi kita akan berusaha. Kemungkinan Erry juga akan menyertai kelayakan (Olimpik), bukan di Korea Selatan tetapi di Cuba nanti,” katanya yang turut menjelaskan keempat-empat atlet ini akan kembali ke Malaysia pada 1 Mei ini manakala Aniq dan Aznil terus berlepas ke Korea Selatan dari Surabaya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading