Kehadiran buaya di pantai Teluk Mak Nik

Kemaman: “Saya ingatkan objek tenggelam timbul itu adalah kayu sebelum menyedari ia adalah seekor buaya bila diamati,” kata Mohd Arif Ismail, 41, berhubung kemunculan seekor buaya di pantai Teluk Mak Nik, dekat sini, kelmarin.

Mohd Arif berkata, dia terserempak dengan buaya itu ketika sedang memancing bersama tiga rakannya di kawasan pantai terbabit kira-kira 1 tengah hari.

“Pada mulanya saya pergi ke tepi pantai untuk mengalih joran sebelum ternampak buaya itu yang jaraknya sekitar kira-kira 50 meter sahaja.



“Kemunculan reptilia berukuran tiga meter itu menyebabkan pengunjung dan pemancing merakam video dan gambar sehingga tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, sepanjang empat tahun memancing di situ, ia adalah kali pertama dia terjumpa dengan buaya di kawasan berkenaan.

“Bila diperhatikan betul-betul, memang saya terkejut apabila objek itu bukannya kayu, tetapi seekor buaya yang sedang berenang, namun ia tidak mengganggu kami.

“Memang tak sangka akan jumpa buaya biasanya buaya wujud di kawasan sungai dan paya ,” katanya.



Terdahulu, video berdurasi 59 saat yang memaparkan buaya itu sedang berenang tular di Facebook dan Whatsapp.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya yang menerima laporan menjalankan siasatan dan melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

Katanya, beliau meminta orang ramai tidak mandi di kawasan pantai terbabit selain tidak mengganggu buaya berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button