Budak lelaki empat tahun maut disyaki didera

ISKANDAR PUTERI: Polis menahan sepasang suami isteri semalam, selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sehingga mati.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata pihaknya bertindak atas maklumat dan hasil risikan, sebelum menahan dua suspek itu di rumah mereka dekat Jalan Aman, Skudai, pada jam 1.30 petang.

Terdahulu, katanya, mangsa dibawa ke Zon Kecemasan, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru kira-kira jam 8.20 pagi sebelum meninggal dunia sebaik tiba.



“Mangsa mengalami kecederaan pada kepala, belakang telinga, perut serta kaki dan suami isteri yang masing-masing berusia 20-an yang disyaki mendera itu mengakui terbabit dalam kes berkenaan.

“Suspek lelaki adalah bapa tiri kepada mangsa dan suspek wanita pula adalah ibu kandungnya.

“Kita masih menyiasat cara bagaimana mereka mendera, tetapi siasatan awal mendapati mereka menggunakan tangan dan penyangkut baju,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Rahmat berkata, telefon bimbit dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa turut dirampas ketika tangkapan dilakukan.



Beliau berkata, suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan kini direman tujuh hari bermula hari ini.

“Ibu mangsa yang juga suri rumah pula direman dua hari sehingga esok.

“Mangsa mempunyai seorang adik lelaki berusia enam bulan dan ibu mangsa juga sedang hamil dua bulan,” katanya.

Rahmat berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak) dan polis masih mengesan saksi serta bukti lain bagi membantu siasatan.



BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading