Rakaman foto kesan tembakan peluru di Kompleks Petronas Sudan

KUALA LUMPUR: Rakaman foto menunjukkan kesan kerosakan bangunan Kompleks PETRONAS di Khartoum didedahkan, ia adalah lokasi pertempuran sengit di Sudan yang sedang dilanda konflik.

Imej eksklusif yang diperoleh New Sunday Times itu turut menunjukkan kesan tembakan peluru di bangunan kompleks berkenaan.

Selain menjadi pusat operasi PETRONAS, bangunan itu turut menempatkan pejabat kedutaan Malaysia.



Satu daripada rakaman foto menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 12 lubang akibat bedilan peluru pada bangunan itu.

Imej pada jarak dekat menunjukkan lubang besar, berkemungkinan daripada tembakan peluru berkaliber tinggi.

Sebuah lagi foto menunjukkan kesan terbakar di bahagian bawah bumbung. Ia difahamkan berpunca daripada peluru mortar.

Satu lagi rakaman foto menunjukkan serpihan kaca dan batu dalam kompleks itu.



Imej berkenaan turut mengesahkan laporan awal bahawa sejurus selepas pertempuran meletus antara Angkatan Bersenjata Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF), kompleks itu telah diambil alih oleh tentera.

Jumaat lalu, Duta Besar Malaysia ke Sudan, Mohamad Razdan Jamil, berkata tembakan mortar dan serangan udara melanda sekitar pangsapurinya yang terletak di Kompleks Petronas Sudan, di Khartoum.

Pada 16 April lalu, media melaporkan 12 orang rakyat Malaysia terperangkap dalam kompleks itu apabila pertempuran senjata meletus.

Sementara itu, Khamis lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata rakyat Malaysia telah dipindahkan dari kompleks itu sejurus selepas premis itu ditawan.



Beliau berkata, kompleks itu digunakan sebagai pos pemerhatian bagi memantau pergerakan tentera kerajaan.

Tambahnya, kompleks itu terkena peluru sesat yang menembusi tingkap, pada hari pertama sambutan Aidilfitri.

“Kini Kompleks Petronas menjadi sasaran. Buat masa ini, operasi kedutaan (Malaysia) di sana digantung dan (perkhidmatan konsular dan diplomatik) akan diambil alih oleh kedutaan di Kaherah.

“Kami masih belum memeriksa keadaan bangunan dan menilai kerosakan,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button