Pengadil patah gigi, rahang diserang pemain
SYDNEY, Australia: Pengadil liga amatur di Australia, Khoder Yaghi patah gigi dan rahang akibat diserang pemain yang digantung ketika mengadili perlawanan di Sydney.
Yaghi sedang mengadili perlawanan antara Padstow Hornets dan Greenacre Eagles di Padstow Park apabila seorang pemain masuk ke padang dan menyerangnya.
Lelaki berkenaan cuba dihalang pemain dan pegawai pasukan, namun dia sempat menumbuk dan menendang Yaghi beberapa kali sehingga mulut pengadil itu berdarah.
Polis New South Wales mengesahkan lelaki berusia 25 tahun itu berjaya ditangkap dan berada dalam tahanan.
Lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai Adam Abdullah, pemain pasukan Greenacre dan juga seorang peninju amatur.
Yaghi dirawat di Hospital Liverpool dan akan menjalani pembedahan tulang rahang hari ini.
Greenacre Eagles kesal dengan tindakan pemainnya itu dan memutuskan untuk menarik diri daripada liga musim ini.
AGENSI