6 perlawanan 6 kalah, Rekod terburuk Lampard

London: Frank Lampard muncul pengurus Inggeris pertama tewas 10 perlawanan berturut-turut saingan liga utama dalam tempoh 35 tahun selepas kelabnya tewas 1-3 di Arsenal, awal pagi tadi.

Penjaring terbanyak sepanjang zaman Chelsea itu tewas semua enam perlawanan sejak dilantik pengurus sementara susulan pemecatan Graham Potter.

Selepas tewas empat aksi terakhir ketika mengendalikan Everton dia kini senasib dengan pengurus Derby County Arthur Cox pada 1988 juga dengan dua kelab berbeza.



Lampard mungkin tidak menjangkakan nasib buruk menimpanya apabila kembali ke Stamford Bridge buat kali kedua mengendalikan kelab selepas dipecat pada Januari 2021.

Dia tampak tergamam selepas Arsenal memanfaatkan kelemahan pertahanan Chelsea sehingga mendahului 3-0 selepas 34 minit.

Walaupun prestasi babak kedua lebih baik, Lampard membayangkan tugas getir bakal digalas pengurus tetap Chelsea selepas ini.

“Berdasarkan musim ini, sejak permulaan sehingga penamat, kami perlu mencari punca secepat mungkin,” katanya.



“Ia bukan penyelesaian dalam satu malam. Jawapan utama adalah mudah. Kami perlu melakukan perkara asas lebih baik dan selepas itu barulah nampak kemajuan.

“Malam ini jelas kepada saya. Babak pertama kami terlalu jauh hilang dalam perlawanan, tetapi ia realiti.”

Pengendali berusia 44 tahun itu kini hanya memenangi satu daripada 20 perlawanan terakhirnya sebagai pengurus.

Terlalu ramai pemain mahal Chelsea yang beraksi di bawah tahap sebenar dan penyokong mula mempersoalkan komitmen mereka – kritikan yang dinafikan Lampard.



“Pemain tidak seperti mereka sangka. Penyokong mempersoalkan kesungguhan pemain tetapi saya tidak bersetuju,” katanya.

“Pemain saya mahu beraksi dengan baik tetapi perlu difahami. Mereka berlatih setiap hari. Bagaimana mempersiapkan diri dan mengekalkan tahap kecergasan.

“Ada banyak punca. Pemain datang ke EPL beraksi dengan kelab yang sedang bermasalah, ia bukan mudah. Ini liga paling sukar di dunia.

“Tetapi ada beberapa perkara asas yang perlu diperbaiki.”



Reuters

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button