Aksi buli jalanan, dua lelaki ditahan polis

PORT DICKSON: Polis menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam aksi buli jalanan membabitkan sebuah kereta yang menghalang pergerakan kenderaan lain di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata penahanan itu berikutan satu klip video berdurasi sembilan saat yang dikesan dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook _’azamaziz’_, pada 28 April lalu.

Katanya, rakaman video itu memaparkan aksi buli jalanan membabitkan sebuah kereta yang menghalang pergerakan kenderaan lain.



“Susulan itu, polis Port Dickson melaksanakan tangkapan terhadap dua lelaki bersabit siasatan mengikut Seksyen 506 dan 279 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kertas siasatan selari juga dibuka bawah kesalahan trafik iaitu Seksyen 336 Kanun Keseksaan, Seksyen 26, 42, 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 50 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959.

“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan tuduh ke atas suspek seorang lelaki diperoleh bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dengan gopoh di jalan awam dan Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Suspek seorang lelaki berumur 23 tahun akan dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson pada jam 8.30 pagi esok,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button