Penyelesaian tuntutan harta RM2 bilion Jamaluddin Jarjis diketahui petang ini
KUALA LUMPUR: Status penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, terhadap empat anaknya dan ibu mentuanya, akan diketahui jam 2.30 petang ini.
Empat anak Kalsom adalah Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla manakala ibu mentua,
Aminah Abdullah dengan semuanya dinamakan sebagai defendan pertama hingga kelima.
Peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili Aminah berkata status itu sepatutnya diketahui semalam namun ditangguhkan susulan peguam utama Kalsom, Datuk Sulaiman Abdullah, tidak dapat hadir prosiding kerana ada mesyuarat di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Putrajaya.
“Puan Sri (Kalsom sebagai plaintif) memohon untuk Sulaiman maklumkan mengenai status penyelesaian itu.
“Peguam terbabit tidak dapat hadir sebelum mahkamah minta pihak-pihak hadir jam 2.30 petang esok (hari ini) untuk maklumkan status berkenaan dalam prosiding secara tertutup.
“Kalau tak capai kata sepakat, kita akan minta mahkamah tetapkan tarikh bicara,” katanya ditemui selepas prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Abdul Shukor Abd Hamid, semalam.
Terdahulu, peguam syarie, Nor Husniah Husi yang mewakili Kalsom, ketika prosiding memohon pendengaran kes diadakan secara tertutup.
Permohonan itu dibuat sebelum peguam berkenaan memaklumkan ada menulis surat kepada mahkamah pada 18 April lalu, untuk menangguhkan kes hari ini kerana Sulaiman perlu hadir mesyuarat di Putrajaya.
“Kita percaya orang yang terbaik untuk mahkamah mendapatkan pengesahan status penyelesaian adalah daripada Sulaiman, atas sebab itu kita mohon penangguhan,” katanya.
Kalsom, 67, memfailkan tuntutan harta sepencarian terhadap harta termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah dan beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak itu dan Aminah.
Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang daripada pernyataan tuntutan.
Pada 4 April 2015, Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita dikenali Aidana Baizieva.
BHOnline