Haaland cipta rekod, bantu City tersenyum di puncak liga

MANCHESTER: Erling Haaland mencipta rekod baharu 35 gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) kali ini yang membantu Manchester City mengatasi West Ham 3-0 sekali gus meletakkan pasukan kembali memegang status pendahulu.

City kini mendahului satu mata di depan Arsenal dan mereka masih berbaki satu perlawanan dalam tangan.

Haaland dalam pada itu mencipta rekod dengan meledak gol ke-51 dalam kesemua kejohanan pada musim pertamanya bersama City.



“saya tidak memikirkan mengenai rekod, saya mungkin berkecamuk (untuk memikirkan mengenainya),” kata Haaland. “Saya akan pulang ke rumah, bermain permainan video, makan dan kemudian tidur.”

Pemain Norway itu diberikan penghargaan oleh rakan sepasukan ketika meninggalkan padang selepas 90 minit masa penuh perlawanan.

“Dalam bola sepak, apabila terdapat perkara istimewa, kami perlu menunjukkan betapa ia istimewa,” kata pengendali City, Pep Guardiola.

“Kami gembira dengannya kerana dia mudah untuk bekerja bersama dan semua orang gembira apabila dia bersama kami. Rekod itu akan diperbaharui pada masa depan, mungkin olehnya juga.”



Pasukan pelawat kehilangan pemain kebangsaan England, Declan Rice, Tomas Soucek dan Nayef Aguerd kerana sakit, manakala kecederaan bermakna pengendali David Moyes hanya boleh menyenaraikan lima pemain gantian.

Namun anak buah Moyes mampu bertahan sehingga 50 minit perlawanan sebelum ditundukkan di Etihad dan masih kekal berada di ambang zon penyingkiran.

Nathan Ake memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-50 sebelum Haaland membolosi gawang pelawat selang dua minit kemudian.

Pemain berusia 22 tahun ini kini melepasi rekod 34 gol dilakukan Alan Shearer dan Andy Cole masing-masing ketika bersama Blackburn dan Newcastle pada era 1990-an.



Namun, rekod baharu dilakukannya itu masih jauh untuk menyamai rekod 60 jaringan sepanjang zaman dalam tempoh semusim EPL yang dilakukan Dixie Dean (Everton) pada 1927/28.

Phil Foden yang dibawa masuk dari bangku simpanan memuktamadkan keputusan 3-0 City di laman sendiri, hanya lima minit sebelum tamat perlawanan. –

Kemenangan ke-13 berturut-turut City di laman sendiri pada 2023 membenarkan anak buah Guardiola kini semakin hampir untuk meraih gelaran kelima liga dalam enam musim.

AFP



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button