Harimau Muda belasah Laos
PHNOM PENH: Skuad bawah 22 (B-22) tahun negara menjadikan Laos sebagai ‘santapan’ pertama mereka di Sukan SEA Kemboja 2023 selepas meraih kemenangan besar 5-1 di Stadium Prince, di sini sebentar tadi.
Skuad kendalian E Elavarasan seakan berdepan tugas mudah untuk melakar kemenangan bergaya apabila berada di hadapan seawal minit keempat hasil jaringan Ubaidullah Shamsul Fazili.
Bagaimanapun, kelebihan itu turut dipadam Ubaidullah sendiri apabila dia tertampan bola ke gawang sendiri susulan hantaran lintang yang dilakukan Phetdavanh Somsanid pada minit ke-21.
Tujuh minit kemudian, giliran Laos pula dihukum dengan gol sendiri daripada pemain mereka apabila Anantaza Siphongphan tertampan bola hantaran Safwan Mazlan.
Tindakan Elavarasan memasukkan Syahir Bashah membuahkan hasil apabila dia berjaya mencetak namanya selaku penjaring dengan menyudahkan umpanan seorang lagi pemain gantian, Fergus Tierney.
Kemasukan beberapa pemain gantian dilihat berjaya mengubah corak permainan Harimau Malaya dengan Tierney hampir menambah gol keempat pada minit ke-80, namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol.
Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal yang turut masuk sebagai pemain gantian juga tidak mengecewakan apabila meledak gol keempat pada masa kecederaan sebelum kemenangan bergaya skuad negara dilengkapkan dengan gol sendiri pemain Laos, Phoutthavong Sangvilay.
Kemenangan ke atas Laos sudah pasti menjadi tonik terbaik buat barisan pemain muda negara yang akan berdepan tugas getir menentang pasukan pilihan, Thailand di gelanggang sama, Sabtu ini.
Terdahulu, Vietnam yang meraih kemenangan kedua selepas menewaskan Singapura 3-1, hari ini memimpin Kumpulan B dengan mengumpul enam mata, manakala Malaysia yang baru beraksi satu perlawanan berkongsi tiga mata bersama Thailand.
BHOnline