Kaoru mahu balas dendam terhadap United

London: Kaoru Mitoma berharap dapat menamatkan musim dengan kejayaan seterusnya membantu Brighton mencipta sejarah dan membalas dendam terhadap Manchester United.

Seagulls yang terbang tinggi melepasi rekod mata Liga Perdana mereka kepada 52 apabila membelasah Wolves 6-0 pada Sabtu lalu dan menghidupkan semula usaha kelab itu untuk ke saingan Eropah.

United yang berada di tangga keempat akan bertandang ke tempat mereka hanya 11 hari selepas menang hasil penentuan penalti ketika separuh akhir Piala FA.



Pemain sayap Jepun, Kaoru itu membuat penampilan sulung di Brighton pada Ogos tahun lalu tetapi reputasinya meningkat dengan pantas musim ini apabila meledak tujuh gol dan empat bantuan dengan aksi persembahan yang mengagumkan.

Pemain berusia 25 tahun itu menghabiskan musim lalu secara pinjaman di kelab Belgium, Union Saint-Gilloise, berazam untuk membantu Seagulls melayakkan diri ke saingan Eropah buat kali pertama.

“Pada masa ini adalah penting bagi pasukan untuk menamatkan musim ini setinggi mungkin dan menyasarkan tempat Liga Juara-Juara atau Liga Europa,” katanya.

“Jika kami dapat mencapai standard yang lebih tinggi dengan bermain bola sepak, saya fikir kami akan dapat membawa lebih banyak kegembiraan kepada peminat.



“Saya mahu menggembirakan mereka dan untuk berbuat demikian, kami mahu mencipta sejarah.”

Brighton tewas di Wembley kepada skuad bimbingan Erik ten Hag menerusi sepakan penalti 7-6.

Peluang Seagulls yang kini berada di tempat kelapan untuk mengejar United dan memburu tempat ke Liga Juara-Juara amat tipis kerana mereka ketinggalan 11 mata, walaupun dengan satu perlawanan dalam tangan.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button