Malayan Tigress gagal sekat Vietnam
PHNOM PENH: Skuad bola sepak wanita negara masih perlu belajar lebih banyak lagi apabila tewas 0-3 kepada Vietnam pada perlawanan pertama Kumpulan A temasya Sukan SEA Kemboja 2023, sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Army, di sini, menyaksikan perlawanan hanya berlangsung ‘separuh padang’ dengan kubu negara diasak bertubi-tubi sebaik aksi babak pertama bermula.
Vietnam tidak perlu berhempas pulas untuk memecah kebuntuan gol apabila penyerangnya Hai Yen Pham menyumbat gol pertama seawal minit keempat.
Pasukan wanita negara terus ‘berdarah’ apabila Thi Bich Thuy Nguyen menggandakan jaringan untuk juara bertahan itu pada minit ke-23 manakala Huynh Nhu pula menjadikan kedudukan 3-0 pada minit 34.
Penguasaan Vietnam tidak dapat lagi dibendung yang melancarkan serangan bertali arus ke kubu Malayan Tigress sebaik bersambung babak kedua.
Melihat barisan anak buahnya agak longlai menyebabkan pengendali skuad wanita negara, Soleen Al-Zoubi membuat pertukaran pemain untuk menguatkan bahagian tengah.
Keputusan itu dilihat tidak banyak membantu bahagian jentera serangan negara namun berjaya menyekat kemaraan Vietnam daripada terus mencipta gol.
Keputusan 0-3 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus memberi kelegaan kerana berjaya mengelak daripada dibolosi dengan jaringan lebih besar.
Malaysia akan berdepan Filipina manakala Vietnam akan menentang Myanmar dalam perlawanan kedua, Sabtu ini.
BHOnline