Najib tak pernah arah pengurusan 1MDB pindah AS$1.03 bilion kepada Jho Low

Oleh – Syeikh Baran


Najib tak pernah arah pengurusan 1MDB pindah AS$1.03 bilion kepada Jho Low
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. Foto Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengarahkan mana-mana individu daripada pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memindahkan AS$1.03 bilion kepada Good Star Limited yang dimiliki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penguasa Kanan Nur Aida Arifin, 37, berkata demikian ketika disoal peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang mewakili Najib berhubung transaksi yang dilakukan antara 2009 dan 2011.



Wan Azwan Aiman: Kamu bersetuju bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB Radhi Mohamad, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng dan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee adalah individu yang membenarkan wang itu dipindahkan ke akaun Good Star?

Nur Aida: Berdasarkan dokumen, ya.

Wan Azwan Aiman: Kamu bersetuju bahawa Najib tidak pernah mengarahkan mana-mana individu daripada pengurusan 1MDB untuk memindahkan AS$1.03 bilion kepada Good Star? Nur Aida: Setuju.

Sebelum ini, Nur Aida yang juga saksi pendakwaan ke-49 dalam pernyataannya mengesahkan bahawa US$1.03 bilion telah dipindahkan ke akaun Good Star dan syarikat itu tidak mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengan 1MDB.



Dana itu dipindahkan ke akaun Good Star melalui dua transaksi iaitu US$700 juta pada September 2009 manakala AS$330 juta pada Mei 2011.

Good Star menutup akaunnya di Coutts pada 4 Sept 2013 dan syarikat itu dibubarkan pada 2 Mei 2014.

Terdahulu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tiga tarikh baharu perbicaraan iaitu pada 30 April, 2 dan 31 Mei.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.



Perbicaraan bersambung esok. – Bernama

Sumber – SINAR HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading