Real Madrid julang Piala Raja Sepanyol

SEVILLE: Rodrygo meledak dua gol ketika membantu Real Madrid mengatasi Osasuna 2-1 untuk menjuarai Piala Raja Sepanyol di Seville, dengan rakan sepasukan dari Brazil, Vinicius Junior memainkan peranan dalam kedua-dua gol berkenaan.

Madrid kendalian Carlo Ancelotti memenangi gelaran Piala Sepanyol ke-20 di La Cartuja dalam aksi final ke-40 mereka, menamatkan penantian sembilan tahun untuk menjulang trofi itu.

Osasuna, yang belum pernah memenangi sebarang trofi utama, terpaksa akur dengan kualiti juara bertahan Sepanyol dan Eropah itu, yang akan berdepan Manchester City dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, Selasa ini.



Madrid kini sudah memenangi keenam-enam trofi dipertandingkan sejak Ancelotti kembali membimbing kelab itu pada tahun 2021.

Rodrygo meletakkan Madrid di depan seawal minit kedua selepas Vinicius melakukan gerakan di sebelah kiri, dan skuad kendalian Ancelotti mempunyai peluang lebih baik di babak pertama.

Lucas Torro menyamakan kedudukan pada minit ke-58 untuk memberikan harapan buat Osasuna memenangi final pertama mereka sejak tahun 2005, dan kedua keseluruhan.

Rodrygo bagaimanapun menghancurkan impian Osasuna dengan menyempurnakan satu lagi gerakan serangan oleh Vinicius.



“Mereka memainkan peranan, Vini merobek pertahanan mereka dan Rodrygo meledak dua gol,” kata Ancelotti.

Madrid menewaskan Atletico Madrid dan Barcelona dalam laluan ke final, dan fokus kini beralih ke pentas Liga Juara-Juara Eropah bertemu City.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button