Cabul pelancong, pembantu jurulatih selam skuba ditahan polis
Semporna: Pembantu jurulatih selam skuba ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang pelancong wanita warga China, di sini, Jumaat lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Asisten Superintendan Arif Abdul Razak berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah penginapan atas air, dekat sini, selepas mangsa membuat laporan jam 10.03 pagi, Sabtu lalu.
Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa yang berumur 25 tahun itu, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari Jumaat lalu.
“Mangsa mendakwa dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam skuba (Divemaster) ketika melakukan aktiviti selam skuba di kawasan perairan sebuah pulau peranginan di sini,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebaik laporan dibuat, mangsa kemudiannya bergerak ke Lapangan Terbang Tawau sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asal.
Katanya, suspek yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba itu ditahan reman selama lima hari sehingga 11 Mei depan untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.
Terdahulu, kejadian itu tular di Facebook dengan perkongsian beberapa gambar termasuk gambar mangsa dicium ketika melakukan aktiviti selam skuba, selain tangkap layar perbualan suspek dengan mangsa serta laporan polis.
METRO