Nyaris diculik, remaja serik keluar rumah
KUALA LUMPUR: Pengalaman dibawa lari seorang lelaki dewasa tidak dikenali memberi kesan kepada Hakim (bukan nama sebenar) sehingga remaja berusia 16 tahun itu trauma untuk keluar rumah lagi tanpa tujuan.
Menurut bapanya, Ismail , 47, bukan sahaja Hakim, malah ibunya, Faridah, 45, turut mengalami trauma dalam kejadian yang berlaku awal tahun ini.
Berkongsi kejadian berkenaan, katanya, isterinya meminta Hakim untuk ke kedai runcit berhampiran rumah bagi membeli beberapa barangan dapur.
“Kebiasaannya masa ia mengambil kurang 10 minit kerana jarak kedai dengan rumah tidak jauh. Anak juga baru sahaja mendapatkan lesen motosikal, jadi sepatutnya lebih cepat,” katanya kepada BH.
Pun begitu, selepas 30 minit berlalu, menurut Ismail, anaknya tiba-tiba muncul tanpa membeli apa-apa barang dapur dan terus masuk bilik dan menguncinya.
“Saya fikir, mungkin perangai anak remaja. Tapi tidak lama selepas itu, isteri memarahi anak kerana tidak membeli barangan diminta dan Hakim keluar semula dari rumah tanpa memberi apa-apa penjelasan,” katanya.
Ketika itu, isterinya mula bimbang kerana selepas 30 minit, anak remaja mereka masih tidak pulang dan Ismail ketika itu yang sedang bekerja dari rumah tidak terlalu memikirkan hal berkenaan kerana berfikir anaknya mungkin bertemu rakan di luar.
“Selepas hampir satu jam anak masih tidak pulang, saya mula tak sedap hati dan tidak dapat fokus pada kerja, kerana waktu itu sudah hampir masuk waktu senja,” katanya.
Ismail berkata nalurinya sebagai bapa mula menyatakan ada yang tidak kena lalu beliau membuat keputusan mencari anaknya itu di kawasan sekitar.
“Masa itu, saya fikir mungkin anak kemalangan awal tadi dan cuba menyelesaikannya sendiri, kerana anak beritahu dia jatuh motor tetapi tidak luka. Saya fikir dia terlanggar kereta sesiapa dan cuba selesaikan tanpa memberitahu kami,” katanya.
Ismail dan isterinya kemudian cuba menghubungi telefon bimbit Hakim beberapa kali, namun tiada jawapan menambahkan lagi kerisauan mereka.
“Selepas banyak kali cuba menghubunginya, barulah dia jawab panggilan tetapi dengan nada panik dan memaklumkan akan pulang nanti dan meminta ibu ayah jangan bimbang.
“Apabila anak meminta ibu ayah jangan bimbang, masa itulah kami risau. Saya meninggikan suara bertanyakan anak di mana kerana kami terdengar suara orang lain di sebelahnya. Akhirnya anak mengaku berada di terminal bas di pekan hampir satu jam jarak dari rumah,” katanya.
Tanpa berfikir panjang, Ismail bergegas menuju ke terminal bas berkenaan namun tidak menjumpai anaknya itu.
“Saya yang tadinya risau mula menjadi marah ketika mencari anak di terminal kerana panggilan tidak berjawab. Isteri menghubungi saya selepas itu, memberitahu Hakim sudah sampai di rumah,” katanya.
Sepanjang perjalanan pulang, Ismail mengaku beliau merancang untuk menghukum dan memarahi anaknya tetapi sebaik tiba di rumah, beliau membuat keputusan untuk menyiasat perkara sebenar.
“Menurut Hakim, ketika di kedai runcit, dia didatangi seorang lelaki agak muda dan mengajaknya berbual. Lelaki itu mula menceritakan kisah sedih mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) dan beliau sedang dalam kesusahan.
“Lelaki itu meminta bantuan Hakim nak minta duit sikit. Itu punca anak lelaki saya pulang bergegas kali pertama dan mengunci diri dalam bilik. Beliau pulang mengambil wang simpanan di bilik untuk diberikan kepada lelaki yang tidak dikenali itu,” katanya.
Tidak habis di situ, ketika Hakim keluar kali kedua, lelaki itu memujuk dia untuk dibawa ke terminal bas di pekan dan duduk di pusat dobi layan diri dipercayai kerana tidak ada orang di situ, untuk menyambung cerita kisah kesusahannya.
“Hakim hanya menurut sahaja. Lelaki itu membawa Hakim ke kedai telefon untuk menjual telefon bimbitnya dan ketika itulah Hakim menjawab panggil telefon dari kami dan memberitahu lelaki itu ibu dan ayahnya dalam perjalanan ke situ,” katanya.
Selepas mengetahui perkara itu, Ismail mendakwa lelaki itu menyuruh anaknya pulang segera dan tidak menunggu mereka tiba, selain melarang menceritakan hal itu kepada sesiapa.
Ismail kembali ke kedai runcit berkenaan untuk bertanya kepada pemilik kedai dan orang di sekeliling, namun tidak ada sesiapa yang dapat mengecam lelaki itu dan kawasan sekitar juga tidak mempunyai kamera tertutup (CCTV).
Mengakui kesilapannya berpunca dari kelalaian sendiri, Ismail kini lebih berhati-hati dan tidak membenarkan anaknya pergi ke kedai seorang diri. Malah anaknya juga bimbang untuk ke mana-mana jika berseorangan.
“Isteri saya juga trauma dengan apa yang berlaku dan kami kini dalam proses membaiki kesilapan dan mahu berkongsi kepada semua ibu bapa di luar sana, jangan leka dan ambil mudah seperti kami dahulu,” katanya.
Semalam Berita Harian melaporkan 3,589 kes kanak-kanak hilang antara 2019 hingga 2022.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata bagi tempoh tiga tahun antara 2019 hingga 2022, sebanyak 2,977 atau 82.95 peratus daripada 3,589 kes kanak-kanak dilaporkan hilang di negara ini adalah disebabkan perbuatan sengaja melarikan diri dari rumah.
Katanya, kecuaian ibu bapa terhadap keselamatan kanak-kanak dianggap suatu kesalahan yang serius kerana boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian.
“Ibu bapa kanak-kanak yang dilaporkan hilang boleh didakwa kerana kecuaian mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang menggariskan kesalahan kerana penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya.