Kisah antara al-Quran terkecil di dunia

Tirana: Sejak turun-temurun, sebuah keluarga di Albania menjadi pemegang amanah al-Quran yang antara terkecil di dunia.

Selama beberapa generasi, al-Quran bersaiz setem itu diwarisi keluarga Mario Prushi.

Hanya dua sentimeter (sm) lebar dan satu sm tebal, kitab itu hampir hilang di telapak tangan Mario dan hanya boleh dibaca dengan kaca pembesar kecil yang tertanam dalam bekasnya.



Ahli agama berpandangan ia adalah salah satu al-Quran terkecil di dunia, dengan kitab suci terkecil itu disimpan di dalam kotak perak yang bertukar hitam seiring peredaran zaman.

Mengikut tradisi, Mario, 45, juga akan mengambil wuduk sebelum mencium dan meletakkan kitab suci itu pada dahinya.

“Kami sudah menyimpannya daripada generasi ke generasi dengan penuh dedikasi.

“Kami menerima banyak tawaran untuk membelinya termasuk daripada muzium, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk menjualnya.



“Al-Quran ini adalah milik keluarga kami dan ia akan sentiasa bersama kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tirana.

Berkongsi mengenai asal usul al-Quran itu katanya, dia mewarisi kitab suci itu sebelum kematian bapanya pada 2012.

“Nenek moyang saya sedang menggali tanah untuk sebuah rumah baharu di wilayah Djakovica, Kosovo, apabila mereka menemui mayat seorang lelaki yang diawet dengan sempurna yang dikebumikan di sana.

“Al-Quran itu ditemukan (dalam keadaan) elok di atas badannya,” katanya.



Katanya, sejak itu, keluarganya menganggap penemuan al-Quran itu sebagai seruan memeluk Islam.

“Datuk saya, seorang pegawai tentera Raja Zog Albania pada 1930-an, tahu Bahasa Arab dan akan menjemput rakannya ke rumahnya setiap malam untuk membaca ayat-ayat al-Quran itu.

“Bertahun-tahun kemudian, di bawah pemerintahan diktator komunis Enver Hoxha, yang mengharamkan sepenuhnya semua agama dan menghantar semua penganut agama ke penjara, al-Quran itu terselamat kerana ia boleh disembunyikan dengan mudah.

“Selepas itu, bapa saya, Skender berkongsi kepercayaannya kepada rakan-rakan di Kosovo, selepas menyeludup al-Quran itu merentasi sempadan dengan menyembunyikannya di dalam lori yang penuh dengan arang batu.



“Kitab suci itu menjalani proses pemulihan selepas perang di Kosovo pada tahun 1999 selepas kitab itu ditanam bagi menyelamatkannya daripada kesan peperangan itu,” katanya.

Sementara itu, penyelidik pengajian Al-Quran di Universiti Beder di Tirana, Elton Karaj berkata, tanpa analisis saintifik, usia al-Quran itu sukar ditentukan, namun kitab suci setebal 900 halaman itu dipercayai wujud sejak sekurang-kurangnya sejak abad ke-19.

“Al-Quran ini dicetak dalam format sangat kecil antara yang terkecil di dunia.

“Daripada penampilannya, penerbitannya bermula pada akhir abad ke-19.



“Ia adalah kerja luar biasa dan sangat berharga. Nasib baik salinan ini ada di Albania,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button