Serangan dron Israel tumpu timur Lubnan

Oleh – Syeikh Baran


Serangan dron Israel tumpu timur Lubnan
Seorang askar Lubnan berkawal selepas serangan Israel di Bekaa pada 12 Mac 2024. – Foto AGENSI

Media kerajaan dan sumber Hizbullah memaklumkan seorang cedera hari ini dalam serangan dron Israel di timur Lubnan berikutan serangan rentas sempadan antara Hizbullah dan Israel.

Ia berlaku sehari selepas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata tentera Israel sedang melakukan ‘tindakan ofensif’ merentasi selatan Lubnan ketika serangan rentas sempadan semakin sengit.



Keganasan itu mencetuskan kebimbangan konflik habis-habisan antara Hizbullah yang disokong Iran, dengan Israel yang kali terakhir berperang pada 2006.

“Serangan dron Israel mengenai trak yang membawa bahan api untuk Hizbullah di kampung Duris, hanya di barat daya bandar Baalbek di Lembah Bekaa,” kata sumber Hizbullah kepada AFP.

Serangan itu mengakibatkan pemandu trak itu cedera, kata sumber itu dengan Agensi Berita Nasional (NNA) rasmi mengesahkan laporan itu.

Israel dan Hizbullah, iaitu sekutu Hamas, berbalas serangan rentas sempadan hampir setiap hari di selatan Lubnan sejak perang Gaza antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas meletus sejak Oktober.



Kawasan Baalbek adalah kubu kuat Hizbullah dan Israel menjadikannya sasaran serangan pada minggu-minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, tumpuan pertukaran rentas sempadan sejak perang Gaza bermula di selatan Lubnan yang terletak kira-kira 100 kilometer jauhnya dan juga benteng pergerakan Hizbullah yang disokong Iran.

Kenyataan tentera Israel awal hari ini, berkata sasaran serangan di selatan Lubnan membabitkan kawasan Maroun el-Ras, Markaba dan Alma al-Shaab dan termasuk pos pemantauan Hizbullah.

Semalam, Menteri Pertahanan Israel, dalam satu kenyataan berkata, banyak pasukan dikerahkan di sempadan dan pasukan IDF (tentera) sedang melakukan tindakan serangan yang ketika ini tertumpu di seluruh selatan Lubnan.



Beliau tanpa mengulas lanjut juga berkata, separuh daripada komander Hizbullah di selatan Lubnan ‘disingkirkan’ sejak beberapa bulan keganasan memuncak.

Dalam pada itu, tentera Israel semalam, berkata pihaknya menyerang 40 sasaran Hizbullah di selatan Lubnan.

Serangan semalam berlaku selepas Hizbullah berkata, pihaknya melepaskan roket bertubi-tubi merentasi sempadan berikutan serangan yang membunuh dua orang awam yang dipertanggungjawab kumpulan itu ke atas Israel.

Sejak 7 Oktober, sekurang-kurangnya 380 orang terbunuh di Lubnan dengan kebanyakannya pejuang Hizbullah tetapi juga membabitkan 72 orang awam, menurut pengiraan AFP.



Israel berkata, 11 askar dan lapan orang awam terbunuh di sebelah sempadannya.

Berpuluh-puluh ribu orang dipindahkan di kedua-dua belah pihak. – AFP

Sumber – BERITA HARIAN




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading