Hanya gangsa untuk acara 200m

PHNOM PENH: Hasrat untuk menyaksikan kejutan oleh wakil negara dalam acara final 200 meter (m) lelaki dan wanita tidak kesampaian apabila masing-masing mengakhiri perjuangan dengan hanya membawa pulang gangsa pada hari pertama olahraga dipertandingkan.

Pelari wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang diletakkan sebagai harapan untuk mencipta kejutan mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 23.60 saat (s).

Aksi yang berlangsung di Stadium Morodok Techo itu menyaksikan wakil dari Singapura, Veronica Shanti Pereira membawa pulang emas selepas menemui garisan penamat dengan catatan 22.69s manakala perak menjadi milik pelari Vietnam, Thi Nhi Yen Tran (23.54s).



Zaidatul Husniah yang pernah mewakili negara dalam acara 100m di Sukan Olimpik Rio 2016 berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk membawa pulang pingat dalam acara 200m memandang persaingannya cukup hebat terutama dari Singapura dan Vietnam.

“Sasaran awal hanya untuk masuk final dan alhamdulillah berjaya membawa pulang pingat untuk negara. Kejayaan ini meniup semangat untuk sumbang emas dalam acara 4X100 m wanita kelak,”katanya.

Dalam pada itu, nasib malang melanda pelari 200m lelaki negara apabila Jonathan Nyepa mengakhiri saingan ditempat keempat manakala Muhammad Arsyad Md Saat pula menarik diri kerana mengalami kecederaan.

Pingat emas untuk kategori 200m lelaki dimenangi pelari Thailand, Soraoat Dapbang dengan catatan masa 20.62s manakala perak milik peserta Vietnam, Ngoc Nghia Ngan (20.84s) dan gangsa diraih wakil Indonesia yang juga bekas juara dunia 100m bawah 20 tahun pada 2018, Lalu Muhammad Zohri (21.02s).



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button