Kegiatan jual salinan e-book, format pdf dikesan berleluasa

KUALA LUMPUR: Tiada ilmu mengenai akta hak cipta selain faktor mengaut keuntungan besar menjual bahan cetak rompak menyebabkan fenomena negatif itu sukar dibasmi sepenuhnya.

Apatah lagi buku cetak rompak termasuk versi digital dijual serendah 0.50 sen dan dibuat secara terbuka dalam laman dagang menyebabkan ia sangat mudah dicapai pengguna.

Bagi Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Sheikh Faisal Sheikh Mansor, cetak rompak sukar ditangani jika tiada kerjasama penuh daripada orang awam.



Mengakui ia juga boleh berlaku disebabkan tahap kesedaran yang lemah, tetapi jika tidak dibanteras fenomena ini boleh menyebabkan kerugian kepada bukan sahaja penerbit, tetapi penulis dan semua yang terbabit dalam industri penerbitan.

“Ada juga yang tahu mengenai akta hak cipta, tapi tetap jual buku cetak rompak untuk kaut keuntungan.

“Tak kurang juga yang rasa berkongsi itu tanda prihatin (sharing is caring), lalu mereka sebarkan kandungan buku yang dibeli melalui laman sosial,” katanya.

Tegas Sheikh Faisal, MABOPA memandang serius hal ini dan meminta orang ramai untuk berkongsi maklumat mengenai jualan buku cetak rompak sama ada di laman dagang atau media sosial.



Katanya, setakat ini MABOPA bekerjasama dengan Shopee untuk menyekat jualan buku cetak rompak di laman berkenaan selain turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung hal-hal penguatkuasaan perlanggaran akta hak cipta ini.

“Ramai yang kurang peka hal hak cipta. Tapi kalau buka saja halaman pertama mana-mana buku, laman pertama akan mencetak ayat ini; ‘Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, ilustrasi, gambar dan isi kandungan buku ini dalam apa-apa jua bentuk dan dengan apa acara sekalipun, sama ada secara elektronik, mekanik, fotokopi, rakaman, atau cara lain, sebelum mendapat izin bertulis daripada penerbit.”

“Ini adalah penegasan yang nyata mengenai penentangan terhadap cetak rompak,” katanya.

Tambah Sheikh Faisal, dalam konteks buku digital ia juga bermaksud sesiapa sahaja tidak dibenarkan mengimbas buku fizikal untuk dijadikan format digital, mengedarkan melalui WhatsApp, Telegram, e-mel dan sebagainya, apatah lagi menjualnya kepada orang lain. Jika ia berlaku, maksudnya buku itu dicetak rompak.



Hal ini katanya turut merangkumi tindakan fotokopi buku kerja atau rujukan untuk tujuan pembelajaran sama ada di sekolah-sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi.

Trend buku cetak rompak di Malaysia bukan isu baharu. Selain buku akademik atau novel, kini komik turut menjadi mangsa. Ia seakan-akan sukar dihentikan kerana setiap kali mendapat tumpuan, kegiatan itu akan ‘beku’ seketika sebelum kembali rancak.

Tegas Sheikh Faisal, terdapat satu tanggapan apabila membeli buku fizikal, buku itu adalah milik peribadinya jadi boleh saja diberikan, dipinjam atau dijual kepada orang lain.

“Namun dalam konteks buku digital, aktiviti mengimbas daripada buku fizikal untuk dijadikan buku digital itu sendiri adalah satu kesalahan.



“Kedua, sekiranya buku digital itu dibeli secara sah daripada penerbit atau penjual yang sah, buku digital itu mempunyai DRM (pengurusan hak digital) yang mengekang daripada buku itu dikongsi, diedar dan dijual kepada orang lain,” katanya.

Dalam hal ini katanya, kalau hendak berkongsi buku digital yang dibeli, cara sebetulnya ialah berkongsi peranti digunakan. Ia supaya pembacaan boleh dilakukan daripada peranti yang sama.

Sebaliknya, sebarang usaha untuk memberikan buku digital daripada satu peranti kepada peranti milik orang lain adalah dikira cetak rompak, jenayah hak cipta. Ini kerana buku-buku digital tidak boleh dijual semula, melainkan mendapat kebenaran daripada penerbit.

Sementara itu bagi Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Nisah Haron, berkata menjual buku cetak rompak dalam bentuk apa pun konsepnya sama seperti menjual barang curi atau barang tiruan. Hal ini disebabkan ia adalah satu pelanggaran kepada akta hak cipta.



Katanya, pelanggaran hak cipta boleh terjadi apabila seseorang itu menjual semula buku fizikal yang dibuat salinan ke atasnya (buku fotokopi) atau menjual e-book atau format pdf yang dibeli.

“Meskipun format pdf itu masih ada dengan pembeli tetapi dia sudah membuat salinan. Salinan itu dijual tanpa izin misalnya dengan membuat imbasan.

“Malah ia juga melanggar hak cipta jika seseorang itu menyebar kandungan buku itu secara percuma atau dikenakan bayaran serendah 0.50 sen. Tanpa izin penerbit, tindakan itu adalah melanggar undang-undang.

“Hal ini berbeza kalau kita menjual buku asal yang terpakai. Ia adalah sah dan tidak bersalahan,” katanya.



Namun kata Nisah, berlaku pengecualian jika kandungan buku sudah habis tempoh hak cipta atau termasuk ke dalam kategori karya bebas hak cipta (public domain).

Tambah Nisah, jika berlaku pelanggaran hak cipta tuan punya hak cipta iaitu penulis mestilah mengambil tindakan. Selain penulis, penerbit asal yang mendapat hak penerbitan daripada penulis juga boleh mengemukakan tindakan.

Siapa pula yang boleh dikenakan tindakan? Dalam hal ini tegas Nisah, secara jelas pelaku iaitu pihak yang menjalankan aktiviti muat naik ke laman dagang dengan cara yang tidak sah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Selain itu mereka yang turut boleh diseret dalam tindakan adalah pemilik platform laman dagang apabila ia secara sedar sengaja membiarkan perkara itu berlaku walaupun notis sudah diberikan oleh tuan punya hak cipta atau penerbit.

“Jika dia (pemilik laman dagang) tiada makluman, haruslah diberi notis terlebih dahulu dan mesti bertindak membatalkan hak penjual melakukan aktiviti salah laku itu,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button