Kubur dipasang gril dan dikunci

New Delhi: Kubur dipasang gril dan dikunci dengan mangga bagi mengelak nekrofilia bukan berlaku di Pakistan, sebaliknya di India.

Carian di Twitter menemui gambar yang disiarkan itu dari seorang aktivis sosial di India.

Mohammad Asif Khan yang mengatakan dia mendokumentasikan kes jenayah benci dan Islamofobia, membuat ciapan pada 30 April lalu mengenai kubur itu berada di Hyderabad di India, bukannya di Pakistan.



Dengan menggunakan carian imej Google Street View, lokasi itu bertentangan dengan sebuah masjid di Hyderabad, Masjid-e-Salar Mulk.

Asif berkongsi video muazin masjid, Muqtar Sahab menjelaskan gril itu diletakkan pada kubur itu bagi mengelak jenazah baharu dikebumikan di atas tapak kubur sedia ada.

“Kubur ini berusia kira-kira dua tahun dan satu-satunya sebab menguncinya kerana ramai orang akan mengebumikan jasad di kubur lama, tanpa bertanya.

“Ahli keluarga tidak meminta kebenaran pihak masjid untuk memasang gril yang terletak di tepi pintu masuk utama ke tanah perkuburan itu,” katanya dalam bahasa Hindi.



Video itu menunjukkan muazin bercakap dengan pekerja sosial tempatan Abdul Jaleel, yang memberitahu AFP ibunya dikebumikan di tanah perkuburan sama.

“Banyak kali orang menanam jasad lain di atas kubur dan kemudian apabila seseorang itu mahu melawat nenek moyangnya, mereka kecewa kerana tidak menemui kubur mereka di sana,” katanya.

Sementara itu, seorang wartawan AFP di Hyderabad membuat tinjauan di tanah perkuburan pada 2 Mei lalu sebelum merakam gambar kubur itu.

Pada 26 April lalu, satu gambar kubur dipasang gril dan dikunci dengan mangga itu tular di media sosial yang didakwa berlaku di Pakistan, hingga diulang ciap lebih 3,000.



Pengarang Pakistan yang berpangkalan di Australia, Harris Sultan turut berkongsi gambar itu bersama kecaman terhadap perbuatan seksual terhadap mayat dalam Twitter miliknya sebelum memadamkannya dan menggantikan dengan penjelasan dakwaan itu tidak betul.

Selain itu, akaun Twitter milik aktivis feminis Pakistan, Nishat Anjum juga berkongsi dakwaan itu sebelum menjadi sasaran kecaman kerana dakwaan palsu itu.

Maklumat salah itu juga tersebar di India, malah gambar itu digunakan pelbagai saluran berita yang mendakwa ia dirakam di Pakistan termasuk Times of India, Asian News International (ANI) dan akhbar berbahasa Hindi, Amar Ujala.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button