lima kali Kenaikan OPR B40, M40 terhimpit

Kuala Lumpur: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) lima kali bermula Mei tahun lalu dan terbaharu pada 3 Mei lalu menyebabkan peminjam terhimpit terutama mereka yang mempunyai beberapa jenis pinjaman.

Justeru, kesan kenaikan OPR buat kali kelima dalam tempoh 12 bulan menyebabkan kadar bayaran balik pinjaman meningkat secara drastik, sekali gus akan membebankan peminjam terutama golongan B40.

Untuk rekod, OPR dinaikkan bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.



Pada Mei 2022, kadar OPR dinaikkan kepada 2.0 peratus, diikuti Julai (2.25 peratus), September (2.50 peratus) dan November (2.75 peratus) sebelum yang terbaharu pada 3 Mei lalu iaitu 3.0 peratus.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, mereka yang terbeban adalah peminjam dikenakan kadar berubah iaitu pinjaman perumahan, peribadi dan perniagaan.

Menurutnya, bagi peminjam pinjaman kenderaan dan pengguna kad kredit, mereka tidak terlalu terkesan dengan kenaikan OPR namun untuk pinjaman baharu ia akan mengikut kadar OPR semasa, sekali gus kadar bayaran pinjaman akan lebih mahal.

“Kenaikan kelima ini mencapai 3.0 peratus yang mana ia kembali kepada kadar sebelum pandemik Covid-19 pada November 2019.



“Tetapi apa yang membezakannya ialah keadaan ekonomi ketika itu berkembang, jadi tiada masalah. Sekarang boleh dikatakan tidak semua industri dan pendapatan individu tidak semuanya kembali pulih, menyebabkan ada tidak mampu membayarnya.

“Kita ambil contoh pinjaman rumah RM300,000 selama 30 tahun dibuat dua tahun lalu, kadar (faedah) enam peratus sejak setahun lalu selepas OPR meningkat 7.25 peratus.

“OPR naik beberapa kali dan bayaran bertambah hingga RM250. Jika dulu bayaran RM2,000 sekarang jadi RM2,250 untuk lima kali kenaikan,” katanya.

Katanya, walaupun ekonomi ketika ini dalam fasa pemulihan, tetapi tidak semua stabil daripada aspek pendapatan namun kenaikan OPR akan terus menjerat rakyat terutama B40 yang mempunyai pinjaman kadar berubah.



“Pertumbuhan ekonomi tahun ini dijangka perlahan, tetapi tidak meleset. Ini atas faktor ekonomi global yang perlahan dan kenaikan OPR boleh menyebabkan rakyat kurang berbelanja (untuk berjimat),” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat kadar OPR akan meningkat selepas ini, namun rakyat terutama B40 dinasihatkan supaya menstrukturkan semula pinjaman mereka, tetapi tidak membuat pinjaman atau menambah hutang baharu.

“Pinjaman menjadi lebih mahal dan elak ambil pinjaman baru. Hutang atau pinjaman sedia ada perlu distrukturkan semula, berjumpa pihak bank selain berhubung dengan Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) Rosland Mohd Ariff berkata, peminjam terutama B40 boleh bankrap dalam tempoh beberapa tahun susulan kenaikan OPR lima bermula Mei tahun lalu.



Menurutnya, ini kerana peminjam terutama golongan B40 tidak mampu menampung bayaran balik pinjaman dalam situasi ekonomi mencabar ketika ini.

“Kerajaan dan mana-mana pihak sedar (keadaan ekonomi belum pulih sepenuhnya), tetapi pelik kenapa OPR terus dinaikkan seolah-olah beri tekanan kepada rakyat.

“Beban ini tidak sesuai dengan kita (dalam situasi ekonomi semasa), orang kita sudah susah (dan) OPR naik berkali-kali,” katanya ketika dihubungi.

Justeru, katanya, ada kemungkinan ramai individu hilang kediaman mereka kerana tidak mampu membayar pinjaman selain ada yang bankrap dalam situasi yang membebankan ini.



Gali lubang tutup lubang bayar kenaikan bulanan

Kuala Lumpur: “Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) memang membuatkan saya yang mempunyai pinjaman perumahan menjadi tertekan.

“Disebabkan itu, saya terpaksa ‘gali lubang, tutup lubang’ untuk bertahan dan meneruskan kehidupan,” luah pembeli rumah, Syafiq Mohiadin.

Syafiq berkata, pengumuman mengenai kenaikan OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM), baru-baru ini sudah diduga namun tidak menyangka kenaikan berlaku lebih awal berbanding tarikh dijangkakan.



Katanya, kenaikan OPR ibarat mimpi ngeri buat pembeli rumah sepertinya kerana perlu membayar lebih ansuran bulanan kepada pihak bank.

“Seingat saya, ini kali kedua kenaikan OPR dalam masa singkat kerana permulaan beli rumah dulu, saya hanya membayar RM1,700 sebelum ansuran bulanan naik sehingga RM2,050.

“Terbaru, belum pasti kenaikan (OPR pada Mei 2023) sehingga berapa, tetapi ia membimbangkan untuk individu bekerja sendiri seperti saya kerana kebiasaannya sudah buat kira-kira tanggungan awal.

“Keadaan ekonomi tidak menentu sekarang menyebabkan perancangan dibuat terganggu dan memberi beban kepada kami. Justeru, saya cadangkan kerajaan membuat perancangan tahunan mengenai kenaikan OPR dan maklumkan awal supaya rakyat dapat merancang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, bapa dua anak, Ahmat Saridan Suhairi@Kassim, 51, turut tertekan selepas mengetahui kenaikan OPR walaupun pinjaman perumahan berbaki 10 tahun lagi.

“Memang membebankan kerana kenaikan berlaku dalam keadaan ekonomi dan pendapatan tidak menentu.

“Kos sara hidup makin tinggi, jadi ia mengganggu perbelanjaan bulanan tambahan pula saya ada seorang anak istimewa.

“Jika sebelum ini, saya bayar lebih RM500 kepada bank, tetapi sekarang hampir RM700 dan selepas ini entah berapa agaknya kenaikannya. Tertekan sangat dibuatnya,” katanya.

Manakala, ibu dua anak, Faraliana Mohd Ali, 34, berkata kenaikan OPR dalam keadaan ekonomi masa kini membuatkannya runsing memikirkan bagaimana untuk membayar ansuran bulanan perumahan.

“Saya baru beli rumah dan bakal mendiaminya pada November nanti. Sekarang, saya perlu bayar RM2,500 sebulan dan bayangkan berapa pula ansuran perlu dijelaskan dengan kenaikan OPR (terbaharu) itu,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button