Tutup kafe akibat gangguan sihir, wang disonglap
KUALA LUMPUR: Lebih dua tahun beroperasi dan melabur hampir RM100,000 untuk mengusahakan perniagaan kafe di kawasan Setapak, Kuala Lumpur, vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham terpaksa menutup perniagaannya akibat gangguan sihir pada Disember lalu.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, tindakan Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah, 26, menamatkan operasi kafe itu bukan sahaja disebabkan perasaan hasad dengki individu lain, tetapi berpunca daripada berlakunya pecah amanah membabitkan kakitangan.
Ayie berkata, kafe mula beroperasi sejak pertengahan 2020 dan mendapat sambutan sangat bagus. Bagaimanapun, ada perkara misteri berlaku lima bulan kemudian.
“Antaranya, pelanggan tak nampak atau kafe kelihatan tutup walaupun berniaga seperti biasa. Perkara lain membingungkan apabila nasi dimasak menjadi basi dalam tempoh beberapa jam.
“Saya berjumpa ustaz dan berdasarkan pencerahan, memang kafe terkena gangguan sihir.
“Bagaimanapun, ustaz enggan mendedahkan identiti individu melakukan perbuatan khianat. Sebaliknya, mengatakan sihir dihantar oleh individu tidak senang melihat kejayaan kafe dan kebahagiaan saya,” katanya kepada BH Online.
Katanya, dia sudah 10 kali saya berubat, namun pulih hanya sementara sebelum gangguan sama datang berulang kali.
“Selain gangguan sihir, kafe juga berdepan isu pecah amanah membabitkan juruwang.
“Saya tak tahu juruwang songlap duit sebanyak RM13,000. Dia buat kerja secara senyap.
“Patutlah saya rasa ada sesuatu tidak kena dengan hasil jualan. Meskipun ramai pelanggan dan menjangkakan keuntungan antara RM1,000 hingga RM2,000 satu malam, namun jumlah diberikan hanya RM500.
“Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar selepas saya memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) di kafe.
“Disebabkan serabut dengan isu gangguan sihir dan wang kedai lesap, saya memutuskan untuk menutup perniagaan,” katanya.
Mengulas kes pecah amanah, Ayie berkata, dia sudah membuat laporan polis, tetapi memilih menyelesaikan masalah dengan secara bersemuka.
“Kalau boleh saya tak mahu juruwang itu dipenjara kerana masih ada perasaan belas kasihan dan mengenangkan kebaikan dilakukan.
“Alhamdulillah, juruwang memulangkan wang yang dicuri selepas berbincang,” katanya.
BHOnline