Pemilik kedai gajet didakwa miliki, jual pemain media tanpa perakuan SKMM

Seremban: Pemilik kedai gajet di Port Dickson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memiliki dan menjual pemain media tanpa wayar yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) pada Julai tahun lalu.

Tertuduh, Ciah Mei Chi, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mazni Nawi selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Menurut pertuduhan, wanita itu yang berniaga atas nama sebuah syarikat ada dalam miliknya dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak mempunyai label perakuan sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu lapan unit wireless media player jenama SVICLOUD model M8S PRO W.



Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Peraturan 16(1)(d) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati memiliki dengan tujuan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu satu seunit Wireless Media Player jenama SVICLOUD model 3 Pro.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan satu kesalahan mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 16(3) Peraturan-Peraturan yang sama dan boleh didenda tidak lebih tiga RM300,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.



Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada 12.50 tengah hari di sebuah kedai di Jalan Besar, Lukut di Port Dickson, 28 Julai 2022.

Pendakwaan itu dilakukan Pegawai Pendakwa SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM5,000 sebelum dipersetujui Vivek Sukumaran yang mewakili tertuduh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh membayarnya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button