Madani didakwa 9 pertuduhan rasuah berjumlah RM5 juta

SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM4 juta pada 2021 dan 2022.

Tertuduh, Datuk Mohamad Madani Sahari, 56, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Madani didakwa terbabit secara tidak langsung dalam transaksi yang membabitkan hasil daripada aktiviti haram melalui akaun milik peguamnya melalui surat arahan kepada peguam itu kepada akaun milik beberapa individu dan syarikat, berjumlah RM750,000.



Bagi enam pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Bagi tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b), tertuduh didakwa membuat pembayaran yuran guaman kepada peguamnya berjumlah RM250,000 dan membeli saham berjumlah RM3 juta untuk Islamic Redeemable Preferance Shares Class F.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.

Mohamad Madani dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah cawangan Bank di Seksyen 15, Shah Alam dan sebuah syarikat di Subang Business Centre, Subang Jaya antara 10 Julai 2021 hingga 21 Februari 2022.



Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Akhir memohon untuk menggunapakai wang jaminan RM300,000 daripada kes yang dihadapi sebelum ini di mahkamah berkenaan (Mahkamah Sesyen Shah Alam).

Pihak pendakwaan juga memohon supaya semua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram serta satu kes berkaitan rasuah dihadapinya sebelum ini di mahkamah sama dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes rasuah yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Peguam Rahmat Hazlan tidak membantah dan mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dengan sebutan semula kes pada 9 Jun depan.

Media sebelum ini melaporkan Mohamad Madani mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah membabitkan syarikat subsidiari kepada MARii.



Di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 April lalu, lelaki itu didakwa menerima suapan RM5 juta daripada seorang lelaki berusia 48 tahun melalui akaun bank milik sebuah firma guaman atas arahan lelaki lain berusia 37 tahun sebagai upah kerana telah membantu sebuah syarikat mendapat surat penganugerahan berjumlah RM12 juta.

Dia juga dituduh meminta suapan untuk dirinya RM5 juta daripada seorang individu berusia 37 tahun sebagai dorongan untuk dirinya membantu mendapatkan program latihan dan penempatan pekerja berjumlah RM24 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Mei lalu.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button